Skip to main content

Dunia

Hakim gugurkan pertuduhan gangguan seksual kanak-kanak terhadap Timothy Busfield

Busfield berulang kali menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan. - Foto AP
Busfield berulang kali menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan. - Foto AP

Advertisement

LOS ANGELES: Seorang hakim di negeri New Mexico menggugurkan pertuduhan gangguan seksual kanak-kanak terhadap pelakon dan pengarah terkenal Amerika Syarikat (AS), Timothy Busfield, kerana mendapati pihak pendakwaan tidak bertindak secara adil dan berkecuali semasa prosiding juri besar.

Hakim Joseph Montano bagaimanapun berkata pihak pendakwa raya masih boleh memfailkan semula pertuduhan baharu terhadap Busfield.

Busfield, 69, yang terkenal menerusi drama televisyen The West Wing dan Thirtysomething, didakwa menyentuh secara tidak wajar dua budak lelaki kembar ketika penggambaran drama Fox, The Cleaning Lady, di Albuquerque.

Menurut dokumen mahkamah, kejadian itu didakwa berlaku dalam tempoh dua tahun ketika kedua-dua kanak-kanak berkenaan berusia tujuh dan lapan tahun.

Pelakon itu didakwa pada Februari lalu atas empat pertuduhan selepas juri besar mengeluarkan dakwaan bahawa beliau mencabul salah seorang daripada kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, Busfield berulang kali menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan.

Dalam keputusannya, Montano berkata pihak pendakwa gagal memberikan panduan yang betul kepada anggota juri besar mengenai prosedur untuk memanggil saksi tambahan yang diminta oleh mereka.

Menurut hakim itu, tindakan berkenaan menyebabkan beberapa saksi yang ingin dipanggil oleh juri besar tidak didengar keterangannya.

Pejabat Pendakwa Daerah Kehakiman Kedua New Mexico memaklumkan pihaknya sedang menilai pilihan yang ada, termasuk kemungkinan meneruskan kes tersebut melalui pertuduhan baharu.

 

Must Watch Video

Advertisement