Skip to main content

Malaysia

Malaysia di landasan tepat jadi hab hiburan serantau

Kehadiran pelancong luar negara terbukti membawa pulangan lumayan kerana ia menjana rantaian nilai yang jauh melangkaui hasil jualan tiket semata-mata. - Gambar fail
Kehadiran pelancong luar negara terbukti membawa pulangan lumayan kerana ia menjana rantaian nilai yang jauh melangkaui hasil jualan tiket semata-mata. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Industri penganjuran konsert dan acara langsung di Malaysia kini berada di landasan tepat untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan hiburan utama di rantau Asia Tenggara, disokong oleh kecekapan pengurusan serta dasar cukai yang kompetitif.

Penasihat Kanan Malaysian Association for Arts, Live Events, Concerts and Festivals (ALIFE) Rizal Kamal berkata potensi besar itu bagaimanapun menuntut keseimbangan strategik merangkumi kecekapan pengurusan, peningkatan prasarana, serta limpahan ekonomi yang mampan menerusi pelbagai sektor domestik.

"Malaysia sekarang ada peluang untuk menjadi hab konsert dan jelajah Asia Tenggara. Sekarang dasar cukai kita di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor adalah kosong peratus untuk artis tempatan dan 10 peratus untuk artis tempatan beraksi," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Fokus 15 terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata kestabilan dasar kerajaan hingga 2028 berserta kemudahan pusat sehenti Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) menjadikan landskap penganjuran semasa berada dalam momentum yang amat mengujakan.

Meneliti aspek unjuran ekonomi secara menyeluruh, Rizal berkata kehadiran pelancong luar negara terbukti membawa pulangan lumayan kerana ia menjana rantaian nilai yang jauh melangkaui hasil jualan tiket semata-mata.

"Limpahan ekonomi tersebut turut merangkumi pulangan langsung kepada sektor perhotelan, industri makanan dan minuman, rangkaian pengangkutan awam, pusat beli-belah, sehinggalah kepada peluang perniagaan yang mendatangkan manfaat kepada vendor tempatan," katanya.

Dari sudut daya saing serantau, Rizal berkata Kuala Lumpur juga memiliki kelebihan tersendiri memandangkan kos penganjuran dan penentuan harga di negara ini masih jauh lebih menarik berbanding bandar raya lain di rantau ini yang dilaporkan jauh lebih mahal.

Bagaimanapun, di sebalik pertumbuhan pesat itu, beliau mengakui pihak industri masih berdepan cabaran ketara apabila negara kekurangan lokasi khusus berkapasiti sederhana besar antara 10,000 hingga 20,000 penonton, meskipun memiliki pelbagai pilihan venue moden bersaiz 3,000 hingga 10,000 penonton.

"Oleh itu, bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa terus terpelihara, saya rasa perlu ada kerjasama erat antara penganjur dan pengurusan venue untuk menaik taraf kemudahan asas seperti tandas serta melancarkan sistem laluan keluar masuk penonton," katanya.

Menyentuh isu kesesakan lalu lintas ketika penganjuran berskala besar, Rizal berkata usaha penambahbaikan giat dirangka susulan sesi libat urus bersama pihak berkuasa termasuk wakil kementerian, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pengangkutan awam. 

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh baru-baru ini telah memanggil lebih 20 badan dan penganjur konsert untuk mengadakan perbincangan strategik bersama-sama pihak berkuasa berkenaan. 

"Langkah itu menumpukan kepada usaha menambah baik sistem laluan masuk dan keluar penonton bagi mengelak kesesakan luar biasa seperti yang berlaku baru-baru ini apabila dua konsert berkapasiti penuh bersurai serentak hingga lewat malam," katanya.

Dalam pada itu, bagi aspek keselamatan awam pula, Rizal menegaskan faktor nyawa dan keselamatan penonton tidak boleh dikompromi sama sekali, selain mengingatkan setiap penganjur supaya mematuhi had kapasiti maksimum venue dengan tepat bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya.

Beliau turut mengalu-alukan penggunaan tiket digital serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membendung penipuan tiket dan kegiatan ulat tiket.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement