Skip to main content

Hiburan

10 tahun menanti cerita tepat, Erma Fatima kembali dengan 'Langit 2 Warna'

Langit
Pertemuan budaya Malaysia dan Indonesia dalam latar dunia Islam yang lebih luas menjadikan Langit 2 Warna sebuah karya yang menyasarkan penonton serantau. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 10 tahun menyepi daripada kerusi pengarahan, pengarah dan pengkarya Erma Fatima kembali menerusi Langit 2 Warna, filem cinta agung Malaysia-Indonesia yang menampilkan Reza Rahadian dan Ummi Nazeera sebagai teraju utama.

Menurut Erma, kepulangannya bukan semata-mata untuk menghasilkan filem, sebaliknya kerana menemui cerita yang dirasakan perlu dilahirkan.

"Saya tidak mahu kembali hanya kerana ingin membuat sebuah filem. Saya mahu kembali apabila saya mempunyai sebuah cerita yang benar-benar membuat saya merasa bahawa cerita ini perlu dilahirkan. Dan apabila saya melihat barisan pelakon yang akhirnya bersetuju berdiri bersama dalam Langit 2 Warna, saya tahu perjalanan ini bukan lagi perjalanan saya seorang.”

Antara cabaran utama ialah mendapatkan dua bintang Indonesia, Reza Rahadian dan Christine Hakim. Erma berkata Christine menjadi individu yang mendorongnya mencuba mendapatkan Reza bagi watak Salafi.

"Christine adalah orang yang memaksa saya untuk mencuba. Dia berkata, watak Salafi sangat penting. Jangan abaikan dan ambil sahaja sesiapa untuk memainkan watak ini, kerana dia adalah sebahagian besar daripada dirinya. Dan Christine 'menakutkan' saya lalu saya menghantar skrip saya kepada Reza. Ia mengambil masa hampir dua bulan untuk mendapatkan jawapan.”

Reza akhirnya bersetuju selepas tertarik dengan jalan cerita serta karakter Salafi yang dianggapnya berbeza daripada watak pernah dilakonkan sebelum ini.

“Pertama, kerana ceritanya. Kemudian, betapa menariknya watak Salafi itu. Dan pada pendapat saya, ini adalah cerita yang belum pernah saya lakonkan sebelum ini. Terutamanya di Indonesia.”

Menurut kenyataan media, Langit 2 Warna bukan sekadar kisah romantik, sebaliknya mengangkat cinta melalui persoalan keyakinan, keluarga, prinsip, pengorbanan, kehilangan dan pilihan.

Erma mahu karya itu mengembalikan pengalaman filem cinta berskala besar kepada penonton.

"Sudah lama saya teringin melihat sebuah filem cinta yang tidak malu untuk menjadi besar. Besar emosinya, besar dunianya, besar pengorbanannya. Langit 2 Warna adalah usaha saya untuk kembali percaya bahawa cinta masih mampu menjadi sebuah peristiwa besar di layar perak," jelasnya.

Sementara itu, Christine Hakim menyifatkan naskhah berkenaan mempunyai kedalaman tersendiri menerusi dialog dan karakter Salafi.

"Ia lebih mendalam... dan saya melihat kedalaman cerita ini melalui dialog-dialognya. Terutamanya, saya jatuh cinta dengan Salafi. Bagi saya, Salafi adalah satu tafsiran Datin Seri Rosmariza Che Umar, yang menyifatkan Langit 2 Warna sebagai projek yang terus mendapat keserasian sejak awal.

“Jadi, apabila kami ditawarkan Langit 2 Warna… saya rasa ia terus mendapat keserasian. Ia terus mendapat keserasian. Dan kami terus bertanya, apa seterusnya? Siapa pelakonnya? Bila kita akan menjalani penggambaran? Bila kita akan membuat filem?”

Selain nama besar dari Indonesia, Langit 2 Warna turut menghimpunkan barisan pelakon Malaysia seperti Eman Manan, Umie Aida, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Rosdeen Suboh, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Zizi Kirana, Ismail Yaacob dan Sharifah Aryana.

Penggambaran dijadualkan berlangsung pada November dan Disember 2026 di Malaysia, Indonesia, Mesir serta Arab Saudi, dengan lokasi berkenaan menjadi sebahagian daripada perjalanan spiritual dan emosi watak-wataknya.

Filem terbitan Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. itu menyaksikan Erma bertindak sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit, manakala Rosmariza sebagai penerbit bersama.

Pertemuan budaya Malaysia dan Indonesia dalam latar dunia Islam yang lebih luas menjadikan Langit 2 Warna sebuah karya yang menyasarkan penonton serantau, sekali gus menandakan kemunculan semula Erma ke layar perak selepas hampir sedekad.

Must Watch Video

Advertisement