Skip to main content
Advertisement

Hiburan

Jangan normalisasikan keganasan dalam budaya muzik hardcore

Menurut Khairuddin, perkembangan subgenre seperti beatdown hardcore yang membawa elemen muzik lebih berat dan agresif tidak wajar disalah tafsir sebagai ‘lampu hijau’ untuk melakukan serangan fizikal di hadapan pentas (mosh pit).
Menurut Khairuddin, perkembangan subgenre seperti beatdown hardcore yang membawa elemen muzik lebih berat dan agresif tidak wajar disalah tafsir sebagai ‘lampu hijau’ untuk melakukan serangan fizikal di hadapan pentas (mosh pit).

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan mencederakan orang lain secara sengaja tidak wajar dinormalisasikan sebagai sebahagian budaya muzik hardcore, walaupun cita rasa dan gaya persembahan generasi muda terus berkembang mengikut peredaran zaman.

Vokalis kumpulan Second Combat, Khairuddin Aziz atau lebih mesra dikenali sebagai Ein menegaskan, perbuatan ganas seperti crowd killing bukanlah ukuran keaslian (authenticity) seseorang peminat muzik berkenaan.

Menurut beliau, perkembangan subgenre seperti beatdown hardcore yang membawa elemen muzik lebih berat dan agresif tidak wajar disalah tafsir sebagai ‘lampu hijau’ untuk melakukan serangan fizikal di hadapan pentas (mosh pit).

“Saya bukan nak menentang hardcore beatdown itu semua, bukan menentang beatdown dan bukan menentang moshing. Saya menentang perbuatan sengaja mencederakan manusia lain,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.

Image
Sumber: FB Second Combat
Ein (kanan, hujung) sudah hampir tiga dekad menerajui Kumpulan Second Combat sebagai vokalis.

Ein menjelaskan, moshing merupakan bentuk ekspresi fizikal peminat terhadap muzik, berbeza dengan crowd killing yang melibatkan tindakan sengaja menyasarkan penonton lain dengan tumbukan atau tendangan.

Justeru, beliau meluahkan kebimbangan sekiranya keganasan seperti itu terus dibiarkan tanpa sebarang teguran daripada komuniti mahupun penggiat muzik itu sendiri.

“Apabila sesuatu perbuatan berulang tanpa ditegur, orang mula menganggapnya sebagai sebahagian daripada budaya. Itulah yang membimbangkan saya,” jelasnya.

Pandangan itu disuarakan susulan insiden kematian seorang lelaki selepas mengalami kecederaan ketika menghadiri sebuah acara muzik di Melaka, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ein berpandangan perbezaan generasi tidak wajar dijadikan alasan oleh penggiat lama untuk berpeluk tubuh atau membiarkan tingkah laku berbahaya terus berakar dalam komuniti hardcore.

Sebaliknya, golongan senior perlu membimbing peminat muda melalui perkongsian pengalaman tanpa perlu bersikap terlalu mengawal cita rasa muzik mereka.

“Perbezaan generasi bukan alasan untuk kita membiarkan perkara yang membahayakan orang lain berlaku. Kita tak perlu mengawal muzik yang diminati anak muda ataupun mengatakan zaman dahulu semuanya sempurna. 

"Sebaliknya kita boleh berkongsi pengalaman dan membantu mereka membina scene yang lebih baik,” ujarnya.

Ein yang hampir tiga dekad menerajui Second Combat turut membawa prinsip straight edge, iaitu gaya hidup bebas dadah, alkohol dan rokok yang menekankan disiplin serta tanggungjawab diri.

Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur gig dan kumpulan muzik supaya lebih tegas dengan menyediakan kawalan keselamatan yang ketat, kemudahan bantuan kecemasan, serta tidak teragak-agak menghentikan persembahan sekiranya berlaku kekecohan.

“Kepada penganjur dan band, jangan takut menegur perlakuan berbahaya. Lebih baik persembahan dihentikan sementara untuk memastikan keselamatan daripada kita menyesal selepas sesuatu yang tidak dapat dipulihkan semula,” tegasnya.

Menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden di Melaka, Ein turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sebelum siasatan pihak berkuasa selesai.

Menurutnya, komuniti hardcore tempatan perlu terus matang dan bergerak ke hadapan dengan memastikan tanggungjawab paling utama sentiasa terpelihara iaitu setiap penonton dapat pulang ke rumah dalam keadaan selamat.

Must Watch Video

Advertisement