KUALA LUMPUR: Josiah Hogan percaya setiap pelakon wajar diberikan peluang yang sama untuk membuktikan kemampuan mereka dalam membawakan watak, tanpa terlalu bergantung pada populariti.
Pelakon berusia 40 tahun itu berkata, jika diberikan ruang secukupnya, seseorang aktor berupaya memberikan persembahan di luar jangkaan.
Merujuk dirinya yang jarang menjadi pilihan utama sesebuah produksi, Josiah berkata beliau berusaha membuktikan kemampuannya seperti yang dipamerkannya dalam filem Takluk 2: Op Daulat, menerusi watak SAC Kamal.
“Saya selalu dapat untuk jadi pelakon pilihan yang kedua, ketiga atau keempat. Macam SAC Kamal ini pun saya pilihan yang keempat, tetapi babak saya dengan Datuk Eman Manan jadi viral.
“Kita tak semestinya perlu ambil pelakon yang jadualnya penuh (popular), boleh sahaja ambil yang free (jadual kosong), sebab mana tahu bila ambil pelakon yang tidak sibuk ini minda dia lebih fokus dan dapat bawa watak jauh lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prapelancaran Takluk 2: Op Daulat, di sini, baru-baru ini.
Menurut Josiah, situasi itu biasa berlaku di Hollywood apabila pelakon yang bukan pilihan utama berjaya mencipta magis sehingga naskhah tersebut meledak.
Sementara itu, berkongsi pandangan, aktor tersebut berkata, kunci utama kejayaan sesuatu watak terletak pada kemampuan pelakon memahami mood serta sikap watak yang hendak dilakonkan semasa menyampaikan dialog, bukan hanya pada keupayaan menghafal.
"Sebagai pelakon, cabarannya adalah bagaimana kita memahami karakter dan 'switch' mengikut situasi. Apabila kita terlalu fokus pada dialog, kita kadang-kadang terlupa perangai karakter itu sendiri," katanya.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu diinspirasikan daripada insiden pencerobohan Lahad Datu dan Operasi Daulat pada 2013, yang menyaksikan pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara dan merupakan kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024.
Filem Takluk 2: Op Daulat yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 26 Nov ini, turut menampilkan Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli dan Sara Ali.
-- BERNAMA