Skip to main content

Hiburan

V BTS dedah alami masalah pendengaran pada telinga kanan, sedang jalani rawatan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Final - Spain v Argentina - Halftime Show - New York/New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - July 19, 2026 BTS perform during the Halftime Show REUTERS
V (foto) berkata pendengaran telinga kanannya kini hanya berfungsi pada kadar kira-kira 30 peratus berbanding telinga kirinya. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

ANGGOTA kumpulan K-pop BTS, V atau Kim Tae-hyung, mendedahkan dia sedang menjalani rawatan bagi menangani masalah pendengaran pada telinga kanannya.

Menerusi siaran langsung di platform Weverse, penyanyi itu berkata pendengaran telinga kanannya kini hanya berfungsi pada kadar kira-kira 30 peratus berbanding telinga kirinya.

Dia turut memaklumkan sedang mengambil ubat dan mendapatkan rawatan secara berkala.

Menurut V, masalah kesihatan tersebut mula berlaku kira-kira dua setengah tahun lalu dan semakin buruk ketika menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib di Korea Selatan.

Pendedahan itu dibuat ketika BTS sedang meneruskan siri jelajah dunia Arirang World Tour, yang menandakan kemunculan semula kesemua tujuh anggota kumpulan itu selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan masing-masing.

Selain V, anggota termuda BTS, Jungkook, turut berkongsi mengenai kecederaan yang dialaminya pada tulang kering sepanjang jelajah berkenaan.

Jungkook berkata kecederaan itu hampir menyebabkan retakan tekanan (stress fracture), selain mengalami keradangan dan kerosakan mikro pada tulang.

“Walaupun saya mahu bergerak aktif di atas pentas, ada ketika saya terpaksa mengurangkan pergerakan kerana kesakitan yang dialami,” katanya sambil memohon peminat BTS yang dikenali sebagai ARMY memahami situasi dialaminya.

Jungkook berkata dia akan terus menguruskan kecederaan itu dengan berhati-hati bagi memastikan baki persembahan jelajah dunia berkenaan dapat diteruskan seperti dijadualkan.

 

Must Watch Video

Advertisement