Skip to main content

Bisnes

Cradle LIVE! Summit 2026: BIG 1.0 hasilkan 13 kontrak komersial, salur RM18 juta

Norman Matthieu Vanhaecke membentangkan pencapaian BIG 1.0 pada Cradle LIVE! Summit 2026, termasuk 13 kontrak komersial dan penyaluran RM18 juta kepada syarikat pemula serta penyedia teknologi. - Gambar Cradle
Norman Matthieu Vanhaecke membentangkan pencapaian BIG 1.0 pada Cradle LIVE! Summit 2026, termasuk 13 kontrak komersial dan penyaluran RM18 juta kepada syarikat pemula serta penyedia teknologi. - Gambar Cradle
Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) 1.0 menghasilkan 13 kontrak komersial menerusi kerjasama antara syarikat pemula dan penyedia teknologi dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain menyalurkan RM18 juta kepada syarikat pemula dan penyedia teknologi yang terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, kerjasama itu membuka laluan kepada inovasi tempatan untuk menembusi pasaran, dengan sebahagian penyelesaian sudah mempunyai pelanggan berbayar dan selebihnya termasuk yang sedang diperluas melalui rangkaian perniagaan syarikat peserta.

“Menerusi BIG 1.0, pelaburan bersama kerajaan dan syarikat melebihi RM25 juta. Daripada jumlah itu, RM18 juta disalurkan kepada syarikat pemula dan penyedia teknologi. Ini antara hasil yang dicapai, tujuh syarikat korporat menyertai BIG dan lebih 500 syarikat pemula dinilai.

Advertisement

“Sebanyak 29 projek bukti konsep disiapkan dan 13 kontrak komersial diberikan,” katanya dalam ucaptama hari kedua Cradle LIVE! Summit 2026 di The Arch Galeries, di sini, pada Khamis.

Norman berkata, syarikat pemula yang bekerjasama dengan rakan korporat juga berpeluang memahami keperluan industri yang ingin mereka tembusi.

Advertisement

“Syarikat pemula bukan sekadar satu lagi pembekal dalam senarai anda. Mereka ialah rakan strategik yang berani mengambil risiko terlebih dahulu dan boleh membawa teknologi serta keupayaan terkini kepada anda,” katanya.

Menerusi BIG 2.0, penyertaan diperluas kepada syarikat tersenarai awam berskala besar dan entiti di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama antara syarikat pemula, penyedia teknologi dan bakal pelanggan korporat.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat yang berpotensi menggunakan sesuatu teknologi perlu bekerjasama dengan pengasasnya sejak ujian rintis supaya mereka dapat membentuk penyelesaian itu dan bersedia membuat keputusan untuk menggunakannya.

“Apabila projek rintis terbukti berkesan, perkara paling bernilai yang boleh diberikan syarikat besar kepada perniagaan muda Malaysia ialah kontrak sebenar yang pertama.

“Kontrak itu menjana pendapatan, menjadi rujukan yang boleh dipercayai oleh pihak lain dan memberi keyakinan untuk mendapatkan pembiayaan pada pusingan seterusnya,” jelasnya.

Image
CRADLE SUMMIT 2026 INSERT
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan pada Cradle LIVE! Summit 2026 bahawa program BIG akan diteruskan pada 2027. - Gambar Cradle

Amir Hamzah berkata, pendekatan itu selari dengan model pembiayaan berperingkat yang dibangunkan kerajaan supaya syarikat yang membuktikan keupayaannya pada satu peringkat boleh mendapatkan modal yang sesuai untuk berkembang ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi program BIG menerusi Belanjawan 2025 dan Belanjawan 2026, manakala 14 syarikat yang menyertai kedua-dua fasa program itu memberikan komitmen hampir RM1.50 daripada dana sendiri bagi setiap RM1 geran padanan.

Beliau turut memaklumkan program BIG akan diteruskan pada 2027, sementara garis panduan perolehan GLC akan dikemas kini menerusi Belanjawan 2027 dengan kemajuan vendor diukur berdasarkan pertumbuhan, inovasi dan kemasukan ke pasaran baharu.

Sidang kemuncak itu turut menyaksikan kerjasama antara syarikat pemula Lekir Tech dengan pakar marin luar pesisir Satumarin bagi membangunkan platform digital pemeriksaan kapal berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Di peringkat serantau, pelancaran Startup ASEAN Digital Centre of Excellence menghubungkan ekosistem syarikat pemula di 11 negara ASEAN menerusi platform dalam talian yang menyediakan maklumat pasaran serta membantu pengasas mengenal pasti bakal pelabur dan peluang perniagaan.

Image
CRADLE SUMMIT 2026 INSERT
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Norman Matthieu Vanhaecke bergambar bersama wakil syarikat pada majlis pengiktirafan dan penyampaian anugerah program BIG sempena Cradle LIVE! Summit 2026. - Gambar Cradle

Must Watch Video

Advertisement