Ringkasan AI
- Peguam Datuk Seri Najib Razak membantah kenyataan AGC mengenai penangguhan perintah tahanan di rumah, menyifatkannya tidak sah di sisi undang-undang.
- Pembelaan menegaskan semua syarat pengampunan telah dipenuhi, termasuk pembayaran denda dan pewartaan kediaman Najib sebagai penjara oleh kerajaan.
- Pembelaan menuntut pelepasan segera Najib ke tahanan rumah dan menggesa AGC menarik balik kenyataan media serta memfailkan permohonan rasmi jika ada keraguan undang-undang.
KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak membantah sekeras-kerasnya kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mendakwa perintah tahanan di rumah bagi bekas perdana menteri itu "ditangguhkan buat sementara waktu".
Firma guaman Tetuan Shafee & Co menegaskan, tindakan berkenaan tidak sah di sisi undang-undang memandangkan segala syarat pengampunan diraja telah dipenuhi sepenuhnya, selain kediaman persendirian anak guam mereka di Jalan Langgak Duta telah pun diwartakan sebagai sebuah penjara oleh kerajaan pada hari yang sama.
Menerusi satu kenyataan media bersama salinan Warta Kerajaan Persekutuan (P.U. (B) 456), peguam menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu telah menitahkan agar Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
"Pada 6 November 2026, denda tersebut telah dijelaskan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Mahkamah Tinggi kemudiannya telah mengeluarkan perintah bermeterai kepada Pegawai yang Menjaga Penjara Kajang yang memberi kuasa agar anak guam kami dilepaskan dengan serta-merta (forthwith)," jelas kenyataan itu.
Mengulas lanjut, pihak pembelaan mendedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 telah mengisytiharkan bangunan dan kawasan seluas 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta sebagai suatu penjara bagi maksud penahanan orang dalam jagaan sah.
Warta terbabit diterbitkan oleh AGC sendiri pada tarikh yang sama kenyataan media penangguhan itu dikeluarkan.
Justeru, pihak pembelaan menyifatkan keengganan memindahkan Najib dari Penjara Kajang ke kediaman yang telah diwartakan sebagai tidak logik dan bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Di sisi undang-undang, kediaman anak guam kami kini ialah sebuah penjara di bawah Akta Penjara 1995 yang terletak di bawah kuasa Komisioner Jeneral Penjara.
"Memindahkan anak guam kami ke sana tidak mengeluarkan beliau daripada jagaan sah, ia hanya memindahkan beliau dari satu penjara yang diwartakan ke satu penjara lain yang juga diwartakan," tegas Tetuan Shafee & Co.
Pihak pembelaan turut menyelar AGC dengan menyifatkan penangguhan menerusi kenyataan media sebagai tindakan eksekutif yang melampaui batas (executive overreach) dan satu bentuk penghinaan terhadap prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Negara juga diingatkan agar tidak membangkitkan isu tafsiran pada saat akhir memandangkan beliau hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada September lalu dan tidak pernah mengemukakan sebarang sekatan tafsiran selama tujuh minggu sebelum denda dilunaskan.
Sehubungan itu, pihak pembelaan menuntut Komisioner Jeneral Penjara menyempurnakan pelepasan Najib ke tahanan di rumah tanpa sebarang kelewatan, selain menggesa Peguam Negara menarik balik kenyataan medianya serta-merta.
Sekiranya AGC mempunyai sebarang keraguan perundangan berhubung perintah bermeterai Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan digesa memfailkan permohonan rasmi di mahkamah dan bukannya terus menahan anak guam mereka di Penjara Kajang.