Skip to main content

Bisnes

KUSKOP suntik hampir RM1 bilion, perkasa 45,000 usahawan Sabah

Mohamad Alamin, berkata KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif bagi memastikan usahawan tempatan mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kapasiti operasi masing-masing. - Gambar KUSKOP
Mohamad Alamin, berkata KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif bagi memastikan usahawan tempatan mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kapasiti operasi masing-masing. - Gambar KUSKOP

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan dana pembiayaan hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September lalu, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan kepada usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang pasaran lebih luas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif bagi memastikan usahawan tempatan mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kapasiti operasi masing-masing.

“KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan usahawan kita tidak kekal di tahap mikro, sebaliknya berupaya berkembang ke skala lebih besar,” katanya.

Pendekatan itu ujarnya memperlihatkan bahawa usaha memperkasa usahawan bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan modal, malah turut melibatkan pembangunan kapasiti, pendigitalan dan pembukaan peluang pasaran yang lebih luas.

"Selain pembiayaan, KUSKOP turut memperkukuh infrastruktur perniagaan menerusi pelaksanaan 134 projek Tamu Desa di Sabah bagi tempoh 2024 hingga 2026, membabitkan peruntukan RM30.53 juta.

"Inisiatif itu menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa, selamat dan kondusif, khususnya kepada usahawan luar bandar, bagi menyokong kelancaran operasi serta meningkatkan potensi perniagaan mereka.

"Usaha berkenaan memperlihatkan pendekatan menyeluruh KUSKOP dalam membangunkan sektor keusahawanan, bukan sahaja melalui bantuan pembiayaan, malah penyediaan kemudahan perniagaan dan peluang untuk memperluas jaringan komersial," jelasnya.

Katanya lagi, komitmen itu turut diterjemahkan menerusi penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini, dengan tema Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii.

Karnival berkenaan menjadi platform bagi usahawan tempatan mempromosikan produk, memperluas jaringan perniagaan serta mendapatkan akses kepada pelbagai sokongan pembangunan keusahawanan.

Setakat 24 Oktober, karnival itu menarik kehadiran 35,000 pengunjung, manakala jualan produk usahawan merekodkan nilai melebihi RM263,000.

Lebih menarik, penganjuran berkenaan turut membuka peluang padanan perniagaan bernilai sehingga RM999,000, membabitkan 47 usahawan, sekali gus memberi ruang kepada mereka meneroka kerjasama strategik dan peluang pasaran baharu.

Peluang berkenaan berpotensi membantu usahawan tempatan membina rangkaian perniagaan lebih luas, selain meningkatkan kebolehpasaran produk keluaran Sabah.

Dalam usaha memperkasa pendigitalan PMKS, TikTok Shop selaku rakan strategik karnival turut menyokong pembangunan usahawan melalui pelbagai inisiatif digital.

Karnival itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Usahawan Sabah TikTok Shop sebagai pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berjaya memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan serta memperluas capaian pasaran.

Pengiktirafan berkenaan menyerlahkan kepentingan pendigitalan dalam membantu usahawan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan, sekali gus meningkatkan daya saing dalam pasaran yang semakin mencabar.

Secara keseluruhannya kata Mohamad Alamin, penyaluran pembiayaan hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi, disokong pembangunan infrastruktur serta platform promosi perniagaan, memperlihatkan usaha berterusan KUSKOP dalam memperkukuh sektor keusahawanan di Sabah.

"Dengan sokongan pembiayaan dan peluang pembangunan yang berterusan, usahawan tempatan berpeluang mengembangkan operasi, meningkatkan nilai produk serta membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sabah," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement