ALGIERS: Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah di Algeria ketika gelombang haba ekstrem terus membadai negara Afrika Utara itu.
Menteri Dalam Negeri Algeria, Said Sayoud, berkata mangsa yang terkorban melibatkan lima orang di wilayah Jijel, empat di Bejaia dan tiga lagi di Tizi Ouzou.
Beliau turut memaklumkan seramai 54 orang mengalami kecederaan akibat melecur, termasuk enam mangsa yang kini berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut perkhidmatan perlindungan awam Algeria, sebanyak 154 kebakaran hutan direkodkan di seluruh negara pada Rabu.
Wilayah Bejaia merupakan antara kawasan paling terjejas dengan 36 kebakaran dilaporkan setakat ini. Daripada jumlah itu, 18 kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Pihak berkuasa terus giat menjalankan operasi pemadaman dan pemantauan bagi mengelakkan api merebak ke kawasan penempatan penduduk.
Kebakaran itu berlaku ketika Algeria dan negara jirannya, Tunisia, berdepan gelombang haba luar biasa yang menyebabkan suhu meningkat ke paras tinggi di kebanyakan wilayah.
Keadaan cuaca panas dan kering dipercayai menyumbang kepada penyebaran pantas kebakaran serta menyukarkan usaha pemadaman.
Algeria kerap berdepan kebakaran hutan pada musim panas, terutama di kawasan utara negara itu yang mempunyai litupan hutan yang luas.
Namun, kejadian tahun ini berlaku ketika rantau Afrika Utara berdepan cuaca yang lebih ekstrem berbanding kebiasaan.