Skip to main content

Dunia

AS akan hantar kapal pengangkut pesawat ke Asia Barat

[TB]_American naval_X @World_At_War_6
AS mengerahkan kapal pengangkut pesawat USS George Washington (CVN-73) ke Asia Barat bagi menggantikan USS Abraham Lincoln (CVN-72). - Foto X/@World_At_War_6
Advertisement

ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) merancang menghantar kapal pengangkut pesawat USS George Washington ke Asia Barat bagi menggantikan USS Abraham Lincoln dalam penggiliran yang dijadualkan sebelum ini, lapor Anadolu Ajansi, memetik The Wall Street Journal pada Khamis.

Menurut laporan itu, USS Abraham Lincoln ditempatkan selama lebih 250 hari tanpa singgah di pelabuhan selama 200 hari, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anggota Kongres mengenai keadaan kehidupan anak kapal.

USS Abraham Lincoln memulakan penugasan pada November dan dialihkan ke Asia Barat pada Januari menjelang perang AS dengan Iran. 

Kapal pengangkut pesawat itu bersama pesawatnya memainkan peranan penting dalam Operasi Epic Fury dan sejak itu menyokong sekatan AS terhadap pelabuhan Iran.

Anggota Kongres berkata operasi intensif dan penugasan yang berpanjangan memberi tekanan kepada anak kapal dan mereka sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Pentagon mengenai keadaan di atas kapal.

“Terdapat laporan meluas mengenai kekurangan bekalan asas, pencemaran air, masalah sistem paip, kesihatan mental yang semakin merosot, kebimbangan terhadap keselamatan dek serta gangguan sistem penghantaran surat, yang menyebabkan banyak bungkusan barangan keperluan yang dihantar kepada kapal hilang dalam perjalanan selama berbulan-bulan,” kata Senator Richard Blumenthal dari Connecticut dalam surat kepada Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dan Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS Hung Cao.

Anggota Dewan Perwakilan AS Marlin Stutzman memberitahu CNN pada Khamis bahawa beliau merancang mendapatkan perkembangan terkini daripada Pentagon dan pentadbiran AS, sambil berkata bahawa anggota tentera perlu yakin mereka menerima penjagaan sewajarnya.

“Pada akhirnya, kita tahu mereka yang berkhidmat perlu berasa yakin bahawa mereka mendapat penjagaan yang sewajarnya,” kata Stutzman.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement