WASHINGTON: Seorang jurutera warga Arab Saudi yang bekerja dengan syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS), OpenAI, ditahan kerana disyaki memasang alat rakaman tersembunyi di sebuah bilik mesyuarat eksekutif syarikat itu, menurut Jabatan Kehakiman AS pada Selasa.
Anadolu Ajansi melaporkan bahawa Abdulrahman Alfozan, 35, ditahan pada Jumaat dan dihadapkan ke mahkamah persekutuan pada Selasa atas pertuduhan menggunakan atau cuba menggunakan peranti bagi memintas komunikasi lisan, menurut kenyataan jabatan itu.
Kakitangan OpenAI menemukan sebuah alat rakaman yang disembunyikan dalam gulungan tisu tandas dan disambungkan kepada televisyen di sebuah bilik mesyuarat eksekutif di pejabat syarikat itu di San Francisco pada atau sekitar 30 Sept.
Peranti berkenaan dipercayai dipasang dua hari lebih awal di bilik yang sering digunakan untuk perbincangan sulit membabitkan penyelidikan, perancangan produk dan strategi perniagaan.
Penyiasat berkata rakaman kamera pengawasan menunjukkan Alfozan berada berhampiran bilik itu beberapa kali walaupun tidak mempunyai kebenaran untuk menghadiri mesyuarat di lokasi kejadian.
Mereka turut mengenal pasti pertanyaan kepada chatbot daripada akaun yang dikaitkan dengan isterinya mengenai cara membina, menyembunyikan dan mengakses alat rakaman dari jauh.
Anggota keselamatan kemudian menemukan sebuah lagi alat rakaman di dalam beg milik Alfozan.
OpenAI menerusi platform media sosial X memaklumkan bahawa syarikat itu mengenal pasti pekerja terbabit melalui siasatan dalaman sebelum merujuk kes berkenaan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan menamatkan perkhidmatannya.
Syarikat itu berkata tiada petunjuk bahawa pemberat model AI (model weights), kod sumber atau data pelanggan telah diakses atau diperoleh secara tidak sah.
Jika sabit kesalahan, Alfozan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda AS$250,000.
-- BERNAMA-ANADOLU