JOHOR BAHRU: Seorang bekas pemandu e-hailing dihukum penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, pada Rabu selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kematiannya, termasuk memaksa mangsa memakan najis sendiri, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor memerintahkan hukuman terhadap Chan Wen Jin, 32, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Okt 2022, lapor Sinar Harian.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin tanpa cagaran selama tiga tahun.
Selain itu, tertuduh diperintahkan menjalankan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dalam penghakimannya, Abdul Fareed berkata hukuman yang dijatuhkan perlu mengambil kira kepentingan awam dan hak tertuduh selain meneliti keseriusan kesalahan, fakta kes serta faktor mitigasi.
Mahkamah turut menyifatkan tindakan memaksa mangsa memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai perbuatan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.
Menurut mahkamah, rakaman yang dikemukakan menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa dan merupakan penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berupaya mempertahankan diri.
Mahkamah turut menegaskan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang menyerahkan kanak-kanak itu untuk dijaga.
Hujah pembelaan bahawa perbuatan tersebut merupakan kaedah mendidik seperti yang diamalkan terhadap anak sendiri turut ditolak.
"Sekiranya tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya," kata mahkamah.
Selepas mempertimbangkan faktor pemberatan dan mitigasi, mahkamah memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan adalah bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, selain menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada penderaan.
Pertuduhan asal dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong dan Nur Diana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar serta Datin Freeda Sabapathy.
Sebelum ini, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, 3, di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Okt 2022.