Skip to main content

Dunia

Aplikasi amaran serangan udara Ukraine digodam, cetus amaran radiasi palsu

Aplikasi Air Alert telah menjadi sasaran serangan siber dan pengguna diingatkan supaya tidak menekan pautan yang disertakan dalam mesej mencurigakan. - Gambar hiasan
Aplikasi Air Alert telah menjadi sasaran serangan siber dan pengguna diingatkan supaya tidak menekan pautan yang disertakan dalam mesej mencurigakan. - Gambar hiasan

Advertisement

Advertisement

KYIV: Aplikasi amaran serangan udara yang digunakan secara meluas di Ukraine dipercayai menjadi sasaran serangan siber pada Ahad apabila pengguna menerima beberapa notifikasi palsu termasuk dakwaan kononnya ibu negara Kyiv berdepan ancaman radiasi.

Tentera Udara Ukraine dalam kenyataan menerusi Telegram memaklumkan aplikasi Air Alert berkemungkinan telah diganggu pihak musuh dan menegaskan tiada sebarang ancaman radiasi terhadap bandar itu.

"Tidak ada ancaman radiasi. Bertenang dan ikuti maklumat terkini menerusi saluran rasmi kami," menurut kenyataan itu.

Advertisement

Gangguan tersebut bermula sekitar jam 10.47 malam waktu tempatan apabila pengguna menerima amaran berbunyi "Ancaman radiasi. Ancaman radiasi diisytiharkan di Kyiv".

Seminit kemudian, satu lagi notifikasi dalam bahasa Rusia dihantar kepada pengguna, mendakwa amaran nuklear akan dikeluarkan di seluruh Ukraine sambil merujuk kepada "Oreshnik", yang dipercayai merujuk kepada sistem peluru berpandu Rusia.

Advertisement

Pada jam 10.49 malam, aplikasi itu mengeluarkan dua lagi amaran palsu yang menyatakan terdapat ancaman serangan kimia di Kyiv serta dakwaan berlakunya pertempuran jalanan di bandar tersebut.

Tidak lama kemudian, pengguna menerima beberapa notifikasi susulan yang memaklumkan semua ancaman berkenaan telah berakhir.

Dalam perkembangan sama, pihak Perisikan Ukraine memaklumkan berlaku gangguan pada aplikasi itu dan menggesa orang ramai mendapatkan pengesahan maklumat daripada sumber rasmi lain berhubung sebarang amaran keselamatan atau serangan udara.

Agensi itu turut menjelaskan bahawa isyarat ancaman radiasi turut dimainkan menerusi pembesar suara awam di wilayah Lviv akibat gangguan tersebut, namun menegaskan tidak wujud sebarang bahaya radiasi.

Orang ramai dinasihatkan mengaktifkan notifikasi pada telefon pintar, memberi perhatian kepada siren kecemasan dan hanya merujuk kepada saluran rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Sementara itu, Gabenor wilayah Vinnytsia, Natalya Zabolotna, berkata aplikasi Air Alert telah menjadi sasaran serangan siber dan mengingatkan pengguna supaya tidak menekan pautan yang disertakan dalam mesej mencurigakan.

Aplikasi Air Alert, yang disokong oleh Kementerian Transformasi Digital Ukraine, digunakan untuk memaklumkan pengguna secara masa nyata mengenai permulaan dan penamatan amaran pertahanan serta serangan udara di negara itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement