KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia mendoakan keselamatan 55 warganegara yang masih gagal dihubungi selepas banjir kilat melanda daerah Rasuwa, Nepal.
Menerusi kenyataan di laman facebooknya hari ini, beliau berkata bencana yang mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan itu amat mendukacitakan, selain menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan rakyat Malaysia yang dipercayai berada di lokasi terjejas.
Anwar berkata, maklumat mengenai 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi diterimanya daripada Kementerian Luar Negeri (KLN), manakala usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
“Saya juga amat terkesan apabila dimaklumkan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bahawa 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini dan usaha mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan mereka sedang giat dilakukan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia terbabit.
Beliau berkata, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan bagi membantu memperkukuh koordinasi usaha di lapangan.
Anwar memberi jaminan Kerajaan MADANI melalui KLN akan terus memantau situasi itu dengan rapi serta mengambil segala langkah yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas diberi perhatian sewajarnya.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.
Seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, Nepal, pada Rabu, kata Wisma Putra.
Menurut Wisma Putra, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Luar Negara (KLN) berkata, gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas dipercayai menyumbang kepada kesukaran menghubungi mereka.
“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Banjir yang dicetuskan oleh limpahan Sungai Bhote Koshi itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.
Pada masa sama, KLN menempatkan seorang pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Bilik Operasi KLN di Putrajaya turut diaktifkan mulai 12 tengah hari Khamis bagi menyelaras maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Operasi KLN menerusi talian 03-8887 4570 atau e-mel [email protected].
Ahli keluarga juga boleh menghantar butiran seperti nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon kepada [email protected], dengan salinan kepada [email protected].
Rakyat Malaysia yang berada di Nepal, khususnya di kawasan terjejas, dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Mereka turut digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular.