PUTRAJAYA: Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.30 malam, 30 Ogos dipindahkan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata, keputusan itu merupakan langkah penyesuaian susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini, terutama bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan tetamu serta orang ramai.
"Pemindahan lokasi tidak akan menjejaskan pengisian dan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026.
"Sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selesa,” menurut kenyataan media Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM 2026, pada Khamis.
Seterusnya, kerajaan juga akan terus memantau keadaan jerebu serta perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa.
Sementara itu, keputusan berhubung pelaksanaan acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan semasa serta nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap situasi terkini keadaan jerebu serta mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan melalui saluran rasmi KKM.