Skip to main content

Dunia

Bekalan elektrik di Batam, Bintan hampir 99 peratus pulih

Syarikat pembekal elektrik milik kerajaan, PLN Batam memaklumkan, bekalan kepada 406,083 daripada 411,219 pengguna yang terjejas telah dipulihkan setakat 4 pagi Selasa. - Gambar Facebook
Syarikat pembekal elektrik milik kerajaan, PLN Batam memaklumkan, bekalan kepada 406,083 daripada 411,219 pengguna yang terjejas telah dipulihkan setakat 4 pagi Selasa. - Gambar Facebook

Advertisement

JAKARTA: Bekalan elektrik kepada hampir 99 peratus pengguna yang terjejas di Pulau Batam dan Bintan, Indonesia telah dipulihkan susulan gangguan besar-besaran pada Isnin yang menjejaskan operasi perniagaan, komunikasi dan bekalan air.

Syarikat pembekal elektrik milik kerajaan, PLN Batam memaklumkan, bekalan kepada 406,083 daripada 411,219 pengguna yang terjejas telah dipulihkan setakat 4 pagi Selasa.

"Kerja pemulihan dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada kemudahan penting dan perkhidmatan awam seperti lapangan terbang, hospital, pelabuhan serta kemudahan strategik lain," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Menurut PLN Batam, gangguan bermula kira-kira 6.30 pagi Isnin, dengan sebahagian bekalan berjaya dipulihkan pada 8.49 pagi, namun beberapa kawasan masih terjejas hingga waktu malam.

Gangguan berpanjangan itu menjejaskan aktiviti harian penduduk, termasuk menyukarkan akses kepada rangkaian telefon mudah alih, urusan pembayaran digital dan perkhidmatan asas.

Beberapa premis perniagaan dan penginapan turut terputus bekalan elektrik serta air, menyebabkan penduduk dan pengunjung mencari tempat yang dilengkapi penjana elektrik.

PLN Batam memaklumkan, sebanyak 496.7 megawatt (MW) daripada keseluruhan 501.8 MW kapasiti bekalan elektrik yang terjejas telah dipulihkan, dengan kesemua 11 pencawang elektrik dan 12 unit penghantaran kembali beroperasi.

Bagaimanapun, satu saluran pengagihan elektrik masih dalam proses pembaikan, manakala punca gangguan itu masih disiasat.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Pembangunan Batam mengesahkan bahawa gangguan berkenaan turut menjejaskan kemudahan rawatan air, dengan penjana elektrik sokongan hanya mampu menampung kira-kira 30 peratus daripada kapasiti pengeluaran air biasa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement