ISTANBUL: Boeing merancang memberhentikan kira-kira lima peratus pekerja dalam bahagian pesawat komersialnya bagi menyesuaikan jumlah tenaga kerja dengan jadual pengeluaran yang disemak semula, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut mesej kepada pekerja daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, Stephanie Pope, pengurangan itu akan dilaksanakan menerusi pemberhentian pekerja secara sukarela melalui pengurangan semula jadi tenaga kerja serta pemberhentian secara tanpa sukarela, dengan notis dijangka mula dikeluarkan pada Disember.
"Pelarasan jadual pengeluaran dan pengurangan jumlah pesawat yang dihasilkan menyebabkan kami mempunyai lebihan pekerja," menurut Pope dalam mesej itu.
Beliau berkata Boeing perlu memperlahankan kadar peningkatan pengeluaran yang dirancang bagi memberi lebih masa kepada kilang dan rakan kongsi rantaian bekalannya untuk mencapai kestabilan, susulan pelarasan yang digariskan dalam laporan pendapatan suku ketiga syarikat itu.
"Malangnya, ini bermakna kami perlu menyelaraskan jumlah tenaga kerja dengan pelan perniagaan yang telah disemak semula," katanya.
Langkah itu dibuat dua minggu selepas Boeing menangguhkan rancangan meningkatkan pengeluaran pesawat 737 MAX daripada akhir tahun ini kepada 2027, sekali gus menyebabkan harga sahamnya jatuh ke paras terendah dalam tempoh 18 bulan.
Eksekutif syarikat itu turut memaklumkan bahawa Boeing tidak akan mencapai sasaran penghantaran pesawat 737 dan 787 Dreamliner menjelang akhir tahun ini.
Langkah berkenaan merupakan pengurangan tenaga kerja pertama sejak Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg mengumumkan rancangan memberhentikan 17,000 pekerja pada 2024, tidak lama selepas menerajui syarikat itu.
Ketika itu, Boeing berdepan tekanan kewangan yang serius akibat mogok pekerja teknikal serta kesan insiden panel penutup pintu pesawat 737 MAX 9 milik Alaska Airlines yang tercabut ketika penerbangan pada awal tahun berkenaan.
Pengumuman terbaharu itu dibuat selepas dua tahun Boeing melabur dalam tenaga kerja, latihan dan infrastruktur bagi menstabilkan operasi serta menyokong pemulihan perniagaannya.
Pope berkata pelaburan itu, bersama usaha para pekerja membantu meningkatkan kualiti dan prestasi penghantaran, mendapatkan pensijilan bagi pesawat 737-7 dan 737-10 serta membawa perubahan positif kepada budaya kerja syarikat.
"Walaupun kami mencapai kemajuan yang ketara, proses pemulihan kami masih belum selesai sepenuhnya," kata beliau.
Boeing akan menawarkan perkhidmatan bantuan penempatan pekerjaan baharu yang ditaja syarikat, faedah pemberhentian kerja serta sokongan menerusi Program Bantuan Pekerja kepada kakitangan yang terjejas.
-- BERNAMA-ANADOLU