Skip to main content

Dunia

China kini tanggung lebih ramai warga emas berbanding kanak-kanak

Keluarga di China kini buat pertama kalinya menanggung lebih ramai warga emas berbanding kanak-kanak, mencerminkan perubahan demografi yang semakin ketara di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu. - Gambar hiasan/ Bernama
Keluarga di China kini buat pertama kalinya menanggung lebih ramai warga emas berbanding kanak-kanak, mencerminkan perubahan demografi yang semakin ketara di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu. - Gambar hiasan/ Bernama

Advertisement

BEIJING: Keluarga di China kini buat pertama kalinya menanggung lebih ramai warga emas berbanding kanak-kanak, mencerminkan perubahan demografi yang semakin ketara di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Data rasmi yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Kebangsaan China menunjukkan nisbah warga emas yang bergantung kepada penduduk usia bekerja meningkat kepada 23 peratus pada tahun lalu, mengatasi nisbah kanak-kanak yang berada pada 22 peratus.

Perkembangan itu dianggap sebagai satu titik penting dalam sejarah demografi China ketika negara berkenaan berdepan cabaran populasi menua yang boleh memberi kesan kepada institusi keluarga, sistem pencen dan perbelanjaan kesihatan.

Menurut data terkini, China kini mempunyai lebih 223 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas, mewakili hampir 16 peratus daripada keseluruhan populasi negara itu.

Sebagai perbandingan, jumlah kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah di negara itu dianggarkan sekitar 213 juta orang.

Media milik kerajaan China, Global Times, menyifatkan kemasukan negara itu ke fasa “masyarakat sederhana menua” sebagai hasil gabungan beberapa faktor termasuk saiz kohort kelahiran terdahulu dan peningkatan jangka hayat rakyat.

Akhbar itu turut melaporkan perubahan tersebut berpotensi menambah tekanan terhadap sistem pencen, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang, namun pada masa sama mewujudkan peluang baharu dalam apa yang dikenali sebagai “ekonomi perak” yang memberi tumpuan kepada keperluan golongan warga emas.

Profesor dari Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Stuart Gietel-Basten berkata, perubahan demografi itu bersifat simbolik dan mungkin menandakan peralihan perbelanjaan awam daripada sokongan kepada keluarga dan pendidikan kepada sektor pencen serta kesihatan.

Pada masa sama, pensyarah sosiologi Universiti Nasional Singapura, Mu Zheng berpandangan, fenomena itu boleh menjadi cabaran kepada aspirasi pembangunan China kerana berpotensi mengehadkan pertumbuhan ekonomi serta kuasa perbelanjaan pengguna.

Penuaan populasi China dipengaruhi beberapa faktor termasuk urbanisasi pesat dan kesan dasar seorang anak yang dilaksanakan dari 1980 hingga penghujung 2015.

Dasar tersebut diperkenalkan bagi mengawal pertumbuhan populasi yang pesat dan menurut kerajaan China, ia dipercayai menghalang kira-kira 400 juta kelahiran sepanjang tempoh pelaksanaannya, walaupun angka itu dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

Menurut Mu, dasar itu memainkan peranan besar dalam mengecilkan saiz populasi muda sekali gus menyebabkan jumlah penduduk usia bekerja semakin berkurangan untuk menyokong bilangan warga emas yang terus meningkat.

Walaupun Beijing telah melonggarkan sekatan berkaitan saiz keluarga dalam usaha meningkatkan kadar kelahiran, negara itu masih berdepan kesukaran untuk menggalakkan pasangan mempunyai lebih ramai anak.

Kadar kelahiran di China terus mencatatkan paras terendah dalam sejarah, dipengaruhi faktor seperti perubahan peranan gender, kos sara hidup yang semakin tinggi dan peningkatan tahap pendidikan.

Sehubungan itu, kerajaan China menjadikan sokongan kepada warga emas sebagai antara komponen utama dalam pelan pembangunan ekonomi lima tahunnya yang diumumkan awal tahun ini.

Perbelanjaan kerajaan bagi membantu pesara juga terus meningkat, dengan lebih 53 juta warga emas menerima elaun dan subsidi menjelang penghujung 2025.

Bagaimanapun, Gietel-Basten berpandangan, penggunaan nisbah tanggungan bagi mengukur tahap penuaan populasi mempunyai keterbatasan kerana ia cenderung menggambarkan warga emas semata-mata sebagai individu yang bergantung kepada orang lain.

Beliau menegaskan pendekatan itu tidak mengambil kira peningkatan taraf kesihatan serta kemampuan ramai warga emas untuk terus aktif dan menyumbang kepada ekonomi. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement