MOSCOW: Doktor di England akan melancarkan mogok selama 48 jam pada akhir November ini bagi membantah isu gaji rendah, menurut kenyataan Persatuan Perubatan British (BMA) pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kecewa dengan ketiadaan kemajuan dalam pertikaian kami bersama kerajaan, jawatankuasa pakar perunding mengumumkan mogok bagi doktor pakar di England pada 25 dan 26 November," menurut kenyataan itu.
Pakar perunding merupakan doktor pakar kanan di hospital yang bertanggungjawab mendiagnosis pesakit serta menentukan pelan rawatan mereka.
Mogok akan bermula dari 06:59 GMT pada 25 Nov hingga 06:59 GMT pada 27 Nov, dengan hanya rawatan kecemasan disediakan kepada pesakit sepanjang tempoh berkenaan.
Golongan doktor menyifatkan cadangan kenaikan gaji sebanyak 2.4 peratus oleh kerajaan sebagai tidak wajar kerana gagal menampung kadar inflasi untuk kali ketiga berturut-turut, tatkala beban dan intensiti kerja terus meningkat.
"Hampir suku daripada doktor mengambil cuti akibat tekanan sepanjang 12 bulan lepas; 30 peratus tidak mampu menampung beban kerja mereka dan kelesuan melampau menjadi punca utama rakan sekerja meninggalkan profesion ini," menurut kenyataan itu.
Pada separuh pertama 2026, beberapa siri mogok melibatkan doktor hospital telah diadakan di United Kingdom. Pada Jun, kerajaan menaikkan gaji mereka sebanyak 3.5 peratus.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI