Skip to main content

Dunia

Elon Musk pertimbang gabungkan Tesla dan SpaceX

Menurut Musk, penggabungan itu belum pasti dan memerlukan sokongan pemegang saham sebelum dapat direalisasikan. - Gambar fail/ Reuters
Menurut Musk, penggabungan itu belum pasti dan memerlukan sokongan pemegang saham sebelum dapat direalisasikan. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

NEW YORK: Elon Musk berkata, cadangan untuk menggabungkan Tesla dan SpaceX, dua syarikat utama miliknya, sedang dipertimbangkan secara aktif.

“Adakah saya fikir ia satu idea yang baik? Ya,” kata Musk dalam sesi bersama penganalisis kewangan berhubung keputusan perniagaan suku tahunan SpaceX pada Selasa.

Bagaimanapun, Musk menegaskan, penggabungan itu belum pasti dan memerlukan sokongan pemegang saham sebelum dapat direalisasikan.

Menurutnya, jawatankuasa khas sudah dibentuk di kedua-dua syarikat bagi meneliti kemungkinan penggabungan tersebut.

“Jawatankuasa khas itu belum mencapai persetujuan mengenai terma sebarang urus niaga dan tiada jaminan bahawa mereka akan berbuat demikian.

“Namun, saya berpendapat terdapat banyak manfaat daripada penggabungan dan banyak yang boleh diperoleh,” katanya.

Dengan Tesla dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.5 trilion, manakala SpaceX AS$2 trilion, penggabungan kedua-duanya berpotensi menjadi antara urus niaga korporat terbesar dalam sejarah.

Saham SpaceX meningkat lapan peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran.

SpaceX, yang membangunkan roket angkasa lepas dan satelit internet Starlink, kini turut memperluaskan perniagaannya dengan menawarkan kapasiti pengkomputeran awan kepada syarikat teknologi lain termasuk Anthropic dan Google.

Segmen berkenaan muncul sebagai bahagian paling menguntungkan dalam perniagaan SpaceX dengan menjana AS$7.5 bilion berdasarkan keputusan suku tahunan terbaharu, manakala Starlink mencatatkan pendapatan AS$5.2 bilion.

Bagaimanapun, SpaceX secara keseluruhannya masih belum mencatat keuntungan dan mengalami kerugian AS$1.1 bilion setakat tahun ini.

Sementara itu, saham Tesla yang dijadualkan melaporkan keputusan suku tahunannya pada Rabu meningkat dua peratus selepas mencatat sedikit penurunan dalam tempoh beberapa minggu.

Musk mahu syarikatnya bekerjasama lebih rapat

Sepanjang tahun lalu, Musk semakin menggabungkan beberapa perniagaannya di bawah kelompok syarikat yang lebih kecil.

Sebelum disenaraikan di pasaran saham awal tahun ini, SpaceX mengambil alih xAI dan platform X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, kedua-duanya dimiliki Musk.

Pelancaran Terafab baru-baru ini, sebuah usaha bersama Tesla dan SpaceX dalam pengeluaran cip komputer, turut dilihat sebagai petunjuk Musk mahu syarikat-syarikatnya bekerjasama dengan lebih erat.

Musk berkata penggabungan penuh Tesla dan SpaceX mempunyai rasional berdasarkan kerja yang dilakukan kedua-dua syarikat dalam bidang cip, kecerdasan buatan (AI), perisian dan teknologi lain.

Musk, yang dilaporkan menjadi individu pertama di dunia mencapai status ‘trilionair atas kertas’ selepas penyenaraian SpaceX di pasaran saham awal tahun ini, tidak menganggotai mana-mana jawatankuasa khas yang mempertimbangkan potensi penggabungan tersebut.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai pihak yang mempunyai “konflik kepentingan” kerana memegang jawatan ketua eksekutif di Tesla dan SpaceX.

Malah, Musk menyifatkan tindakannya mengulas kemungkinan penggabungan dua syarikat berkenaan seperti “menari tap di kawasan periuk api”.

Menurutnya, keputusan muktamad mengenai sebarang penggabungan akan ditentukan pemegang saham.

Sekurang-kurangnya 50 peratus pemegang saham Tesla perlu memberikan persetujuan, sesuatu yang disifatkan Musk sebagai “halangan yang agak tinggi untuk dicapai”.

Pemegang saham Tesla sebelum ini pernah menyokong beberapa cadangan berkaitan Musk.

Tahun lalu, majoriti pelabur Tesla meluluskan pakej pampasan untuk Musk yang bernilai sekitar AS$1 trilion.

Walaupun Tesla terkenal sebagai pengeluar kenderaan elektrik, Musk sejak kebelakangan ini semakin mengalihkan sumber syarikat itu ke bidang robotik.

Dalam pada itu, SpaceX yang semakin memberikan tumpuan kepada infrastruktur AI mengatasi Tesla dari segi nilai pasaran selepas penyenaraiannya di pasaran saham. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement