Ringkasan AI
- Indonesia meneruskan operasi memadam kebakaran hutan dan tanah melibatkan 22,595 hektar, dengan Kalimantan Tengah paling terjejas setakat 22 Oktober.
- Seramai 71,878 anggota dan 54 helikopter digerakkan ke enam wilayah keutamaan, termasuk Sumatera Selatan, Riau, Jambi, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Barat.
- Polis Indonesia merekodkan 386 laporan kebakaran, melibatkan 243 individu dan 13 syarikat sebagai suspek, serta mencadangkan pembatalan permit dalam 23 kes korporat.
JAKARTA: Indonesia meneruskan operasi memadam kebakaran hutan dan tanah yang melibatkan kira-kira 22,595 hektar, dengan Kalimantan Tengah mencatat kawasan paling luas terjejas setakat 22 Oktober.
Pemangku Ketua Pusat Data, Penerangan dan Komunikasi Bencana Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB), Berton Panjaitan, berkata kawasan yang masih dalam tindakan merangkumi enam wilayah keutamaan di Sumatera dan Kalimantan, selain beberapa kawasan lain termasuk Jawa, Sulawesi dan Maluku.
Menurutnya, kebakaran di Kalimantan melibatkan kira-kira 18,973 hektar, termasuk 16,097 hektar di Kalimantan Tengah, 1,506 hektar di Kalimantan Selatan dan 1,370 hektar di Kalimantan Barat.
Di Sumatera pula, kawasan yang masih dalam tindakan melibatkan kira-kira 2,431 hektar, merangkumi 2,050 hektar di Sumatera Selatan, 379 hektar di Jambi dan dua hektar di Riau.
Bagi mempergiat operasi memadam kebakaran, seramai 71,878 anggota dan 54 helikopter digerakkan ke enam wilayah keutamaan, iaitu Sumatera Selatan, Riau dan Jambi di Sumatera, serta Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, Berton berkata Indonesia sedang menilai tawaran bantuan antarabangsa, khususnya membabitkan peralatan dan teknologi canggih yang belum tersedia di negara itu.
Beliau turut menyambut baik tawaran bantuan daripada negara lain, menurut laporan agensi berita negara Antara pada Khamis.
Sementara itu, polis Indonesia merekodkan 386 laporan berkaitan kebakaran hutan dan tanah, termasuk kes yang dikaitkan dengan 22 syarikat yang mempunyai kaitan dengan pelaburan asing.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto, dipetik sebagai berkata, laporan itu merangkumi 286 kes membabitkan individu dan 100 kes melibatkan syarikat.
Daripada jumlah itu, seramai 243 individu dan 13 syarikat dinamakan sebagai suspek. Polis turut mengesyorkan pembatalan permit dalam 23 kes korporat.