Skip to main content
Advertisement

Dunia

Iran mungkin tidak sokong resolusi OIC mengenai Yaman

Abbas Araghchi berkata, Tehran telah mengadakan rundingan meluas dengan negara anggota lain dan ucapannya pada mesyuarat itu menekankan penyelesaian terhadap isu Yaman. - AP
Abbas Araghchi berkata, Tehran telah mengadakan rundingan meluas dengan negara anggota lain dan ucapannya pada mesyuarat itu menekankan penyelesaian terhadap isu Yaman. - AP

Advertisement

ISTANBUL: Iran pada Ahad menyatakan kemungkinan tidak menyokong resolusi mengenai Yaman yang sedang dibincangkan pada mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Baghdad sekiranya teks resolusi itu tidak mencerminkan apa yang dianggap Tehran sebagai "keadilan dan keseimbangan", lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap di luar Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata "perbincangan serius" telah diadakan mengenai Yaman, menurut Kementerian Luar Iran.

"Arab Saudi mempunyai pandangannya, manakala kami dan negara-negara lain turut menyuarakan pandangan masing-masing," kata Araghchi sambil menambah bahawa cadangan resolusi itu masih belum dimuktamadkan.

"Kami berharap keadilan dan keseimbangan akan diambil kira dalam resolusi serta kenyataan akhir itu. Sememangnya, jika perkara ini tidak berlaku, Republik Islam Iran tidak dapat menyertai resolusi berkenaan," katanya.

Araghchi berkata sebahagian besar negara anggota OIC mempunyai pendirian yang hampir sama dengan Arab Saudi, sambil menambah bahawa Tehran telah mengadakan rundingan meluas dengan negara anggota lain dan ucapannya pada mesyuarat itu menekankan penyelesaian terhadap isu Yaman.

Yaman terjebak dalam konflik sejak kumpulan Houthi yang disokong Iran menguasai Sanaa dan beberapa wilayah pada 2014, mendorong pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan pada 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Konflik itu baru-baru ini turut merebak ke Arab Saudi apabila kumpulan Houthi melancarkan serangan yang menyasarkan negara berkenaan, termasuk infrastruktur minyaknya, susulan pengisytiharan sekatan maritim oleh kumpulan itu pada Julai.

Menyentuh hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), Araghchi berkata syarat-syarat Iran telah dikemukakan kepada Washington sebagai sebahagian daripada apa yang disifatkannya sebagai "pelan tujuh hari", manakala AS turut mengemukakan pandangannya yang masih dalam proses penyediaan maklum balas oleh Tehran.

"Dari sudut pandangan kami, pelan tujuh hari itu masih di atas meja rundingan," katanya.

"Jika pihak Amerika benar-benar ikhlas - sedangkan hakikatnya tidak - hala tujunya jelas. Jika mereka memenuhi syarat-syarat itu, selat berkenaan akan dibuka semula pada hari keenam dan rundingan akan bermula pada hari ketujuh," katanya merujuk kepada Selat Hormuz.

Kenyataan itu dibuat semasa sesi ke-52 Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Baghdad, yang menyaksikan Iraq mengambil alih jawatan pengerusi bergilir majlis itu daripada Turkiye.

Mesyuarat berkenaan menghimpunkan menteri luar dan wakil daripada 57 negara anggota pertubuhan itu bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan di Yaman dan Palestin.

Araghchi turut berkata Iran memberikan kepentingan khusus kepada negara jirannya, Iraq, dan berharap kepengerusian Baghdad serta pelantikan Setiausaha Agung OIC yang baharu akan memberikan "momentum baharu" kepada pertubuhan itu.

Beliau berkata Tehran mengharapkan OIC memainkan peranan konstruktif dalam menyelesaikan pertikaian antara negara Islam.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement