Skip to main content
Advertisement

Dunia

Iran tidak lagi perlu import gasolin - Presiden

Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata Iran tidak lagi perlu mengimport gasolin hasil kerjasama rakyat yang menyumbang kepada penjimatan besar. - Reuters
Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata Iran tidak lagi perlu mengimport gasolin hasil kerjasama rakyat yang menyumbang kepada penjimatan besar. - Reuters

Advertisement

TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata langkah penjimatan dan pengurusan penggunaan tenaga membantu negara itu mengelakkan kekurangan bekalan bahan api, meskipun berdepan penggunaan tenaga yang tinggi serta kesukaran memenuhi keperluan bahan api akibat perang ekonomi Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Berucap pada mesyuarat Majlis Penerangan Kerajaan di Tehran pada Ahad, Pezeshkian berkata Iran tidak lagi perlu mengimport gasolin hasil kerjasama rakyat yang menyumbang kepada penjimatan besar, sekali gus mengelakkan perbelanjaan sebanyak AS$12 bilion yang sebaliknya terpaksa ditanggung negara itu.

Beliau turut menyentuh isu domestik lain dalam mesyuarat berkenaan, termasuk inisiatif dan rancangan majlis itu untuk memanfaatkan keupayaan media serta jabatan perhubungan awam agensi kerajaan bagi mengetengahkan pencapaian masing-masing.

Sambil menekankan kepentingan memanfaatkan media sepenuhnya secara terancang bagi memperjuangkan keadilan dalam pelbagai sektor, Pezeshkian berkata rancangan musuh Iran yang merangkumi pencerobohan ketenteraan, tekanan dan sekatan ekonomi serta serangan media bertujuan mencetuskan perselisihan dan memperdalam perpecahan antara pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau sekali lagi menggesa semua pihak berganding bahu menangani cabaran negara dengan memanfaatkan segala sumber yang ada, termasuk media, bagi memperkukuh perpaduan dan kesepaduan nasional.

Merujuk kepada perang yang dikenakan oleh AS dan Israel serta sekatan ekonomi yang disifatkannya sebagai tidak sah, Pezeshkian berkata musuh telah menyebabkan rakyat Iran berdepan kesukaran besar, namun kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membina Iran yang lebih kukuh.

Beliau menegaskan bahawa usaha menjamin kesejahteraan hidup rakyat mesti terus menjadi keutamaan, sambil berkata hasil yang diperoleh daripada kenaikan harga bahan api serta langkah penjimatan dan pengurusan penggunaan akan disalurkan semula kepada rakyat.

-- BERNAMA-IRNA

Must Watch Video

Advertisement