Skip to main content

Dunia

JD Vance enggan sokong Benjamin Netanyahu dalam pilihan raya Israel

JD Vance (kanan) enggan menyatakan sokongan kepada Benjamin Netanyahu menjelang pilihan raya negara itu bulan ini, sambil menegaskan beliau memilih untuk tidak campur tangan dan mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya pertengahan penggal di AS. - REUTERS
JD Vance (kanan) enggan menyatakan sokongan kepada Benjamin Netanyahu menjelang pilihan raya negara itu bulan ini, sambil menegaskan beliau memilih untuk tidak campur tangan dan mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya pertengahan penggal di AS. - REUTERS

Advertisement

WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance enggan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjelang pilihan raya negara itu bulan ini, sambil menegaskan beliau memilih untuk tidak campur tangan dan mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya pertengahan penggal di AS.

Vance menyatakan pendirian itu ketika diwawancara wartawan Mark Halperin kelmarin, sehari selepas Presiden AS, Donald Trump secara terbuka memberikan sokongan kepada Netanyahu.

“Saya bukan menentang untuk menyokongnya. Saya juga bukan menyokongnya. Saya tidak mahu campur tangan dalam pilihan raya Israel,” kata Vance.

“Saya menyokong calon-calon Amerika dan tumpuan saya adalah kepada pilihan raya pertengahan penggal,” tambahnya.

Kali terakhir Vance secara terbuka memberikan sokongan kepada pemimpin asing adalah pada April lalu apabila beliau menyokong bekas Perdana Menteri Hungary berhaluan kanan, Viktor Orban yang tewas dengan majoriti besar kepada Peter Magyar.

Sepanjang dua penggal pentadbirannya, Trump membina hubungan rapat dengan Netanyahu serta kerajaan berhaluan kanan Israel.

Dalam penggal pertamanya, Trump memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis Barat, mengiktiraf pengilhakan Israel ke atas Bukit Golan, menarik Washington daripada perjanjian nuklear Iran 2015 serta menerajui beberapa perjanjian normalisasi hubungan antara Israel dengan negara-negara Arab yang mengetepikan isu Israel-Palestin.

Sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025, pentadbiran Trump meneruskan penjualan senjata kepada Israel ketika perang di Gaza berterusan, terlibat dalam konflik dengan Iran serta meningkatkan tekanan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Vance pula, yang dilihat sebagai antara calon berpotensi untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden AS pada 2028, semakin menjadi simbol rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota Parti Republikan terhadap sokongan tanpa syarat Washington kepada Israel.

Sentimen itu dilaporkan semakin meningkat susulan kesan perang AS-Israel dengan Iran yang turut menyebabkan peningkatan kos kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Walaupun Vance menegaskan sokongan AS terhadap Israel perlu diteruskan, pendiriannya mengenai hubungan kedua-dua negara mencetuskan keraguan dalam kalangan anggota Republikan berketurunan Yahudi.

Pada Jun lalu, ketika Israel membantah rancangan gencatan senjata dengan Iran, Vance menyampaikan mesej tegas kepada Israel.

“Anda tidak boleh sekadar membunuh untuk menyelesaikan setiap masalah keselamatan negara yang anda hadapi,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada Kabinet Netanyahu supaya tidak meminggirkan Trump, sambil menyifatkan Presiden AS itu sebagai “satu-satunya sekutu berkuasa” yang masih dimiliki Israel.

Dalam pada itu, masih belum jelas sama ada sokongan terbuka Trump mampu meningkatkan kedudukan parti Likud pimpinan Netanyahu menjelang pengundian pada 27 Oktober.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan wujud rasa berhati-hati terhadap Trump berikutan persepsi bahawa beliau cuba mengehadkan operasi ketenteraan Israel di Lubnan selain menentang tindakan meningkatkan lagi ketegangan dengan Iran.

Tinjauan turut menunjukkan parti Yashar mendahului Likud menjelang pilihan raya berkenaan.

Pemimpin Yashar yang juga bekas Ketua Turus tentera Israel, Gadi Eisenkot berkata, beliau akan berusaha membentuk blok pembangkang bagi membolehkan sebuah kerajaan ditubuhkan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement