BERLIN: Kes jangkitan virus Sindbis disahkan buat kali pertama di Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Institut Robert Koch (RKI) di Berlin pada Khamis memaklumkan, pesakit merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun dari Baden-Wurttemberg, selatan Jerman.
Menurut RKI, antibodi yang menunjukkan jangkitan terdahulu dikesan beberapa tahun lepas dalam kalangan penderma darah dari negeri itu manakala virus itu sebelum ini turut dikesan pada nyamuk di kawasan berkenaan. Namun, ini merupakan kali pertama virus itu dikesan mempunyai kaitan secara langsung dengan penyakit berkenaan.
RKI menyatakan bahawa kes semasa mengesahkan bahawa dengan kehadiran virus yang diketahui dalam nyamuk dan burung liar, kes jangkitan dalam kalangan manusia sememangnya boleh berlaku.
Bagi pesakit yang mengalami demam, ruam dan sakit sendi yang teruk ketika musim nyamuk, kemungkinan jangkitan virus Sindbis perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada diagnosis berbeza.
Virus Sindbis (SINV) ialah patogen yang tersebar terutamanya dalam kawanan burung dan disebarkan oleh nyamuk. Virus ini ditemukan di beberapa kawasan di Eropah Utara, Afrika, Asia dan Australia. Tiada kes penularan virus itu daripada manusia kepada manusia diketahui setakat ini.
Jika seseorang dijangkiti daripada nyamuk yang membawa virus, individu berkenaan boleh mengalami apa yang dikenali sebagai demam Sindbis. Gejala lazim termasuk demam panas secara tiba-tiba, ruam yang gatal dan sakit sendi yang teruk. Gejala ini serupa dengan jangkitan virus chikungunya.
Demam Sindbis tidak dianggap mengancam nyawa. Ruam dan demam biasanya reda dalam tempoh satu hingga dua minggu manakala sakit sendi boleh berterusan selama beberapa minggu atau bahkan berbulan-bulan sehingga menyukarkan aktiviti harian.
Tiada rawatan khusus untuk virus itu. Gejala biasanya dirawat dengan ubat tahan sakit dan ubat antiradang. Pencegahan terutama dilakukan melalui perlindungan berkesan daripada gigitan nyamuk seperti memakai pakaian yang menutup tubuh, menggunakan penghalau nyamuk dan memasang kelambu.
RKI berkata lelaki di Baden-Wurttemberg itu mula jatuh sakit pada 12 Julai. Oleh sebab beliau tinggal di sebuah daerah yang mempunyai populasi nyamuk harimau Asia (Aedes albopictus), doktor yang merawatnya pada mulanya menjalankan ujian bagi mengesan kemungkinan jangkitan chikungunya.
Siasatan kemudiannya diperluaskan untuk meliputi SINV dan virus kemudiannya dikesan pada September.
-- BERNAMA-dpa