PUTRAJAYA: Kerajaan negeri disaran mewartakan kawasan jelapang padi bagi memastikan kelestarian kawasan tanaman itu serta memperkukuh keterjaminan makanan negara susulan penurunan Kadar Sara Diri (SSR) beras pada tahun lepas.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), cadangan itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Exco-Exco pertanian negeri, semalam.
“Cadangan itu mengambil kira penyusutan keluasan pesawah padi yang turut menyumbang kepada penurunan SSR beras daripada 68 peratus pada 2018 kepada 54.3 peratus pada 2025 serta syor Laporan Ketua Audit Negara supaya kawasan jelapang padi diwartakan bagi mengekalkan keluasan tanah penanaman padi.
“Kebergantungan pada import beras dianggarkan sebanyak 1.416 juta tan metrik bernilai RM2.953 bilion pada 2025,” menurut KPKM dalam satu kenyataan, hari ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri Exco pertanian dari sembilan negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, selain pegawai kanan, ketua jabatan dan ketua agensi di bawah KPKM.
KPKM memaklumkan langkah memperkukuh kawasan sumber makanan negara melalui pengezonan kawasan sumber makanan dalam Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan, selaras dengan Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Negara turut dibincangkan.
Antara langkah tersebut ialah pewartaan segera 24 kawasan agromakanan negeri di bawah Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Taman Kekal Pengeluaran Ruminan, dan Zon Industri Akuakultur selain pelaksanaan Skim Pemutihan Ladang Penternakan serta Mekanisme Perlindungan Kawasan Makanan di Sabah dan Sarawak.
"Langkah ini menyokong usaha KPKM meningkatkan SSR bagi komoditi strategik, sekali gus meningkatkan pengeluaran tempatan serta memperkukuh daya tahan dan keterjaminan makanan negara," menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan mesyuarat turut meneliti cadangan penglibatan kerajaan negeri dalam program Malaysia Fest di Singapura yang menjadi platform promosi produk agromakanan Malaysia sejak 2006 menerusi program Malaysia Fruits, Food Fiesta bagi membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran Singapura.
Penganjuran Malaysia Fest menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah pengunjung meningkat daripada 75,000 orang pada 2017 kepada 179,400 orang pada 2025, manakala nilai jualan meningkat daripada RM6.59 juta kepada RM15.8 juta," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu turut mengambil maklum status Program Pemerkasaan Agromakanan Negara yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan 347 projek berjumlah RM349.15 juta diluluskan daripada 782 permohonan bernilai RM2.09 bilion diterima pada tahun ini.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut mengambil maklum hasil Kajian Penilaian Outcome Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan Kerjasama Kerajaan Negeri 2024 yang melibatkan 97 projek, 19,447 peserta, keluasan kira-kira 40,000 hektar dan peruntukan RM149.59 juta bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program serta manfaat kepada kumpulan sasar dan sektor agromakanan.
Dalam aspek kawal selia industri, mesyuarat mengambil maklum penggubalan Rang Undang-Undang Baja bagi mewujudkan kerangka kawal selia industri baja yang lebih tersusun, telus dan berkesan, khususnya berkaitan kualiti, pengedaran dan kestabilan harga baja serta perlindungan kepentingan petani.
-- BERNAMA