SUMMERLAND: Kerajaan wilayah British Columbia mengisytiharkan darurat selepas kebakaran hutan yang merebak pantas di barat Kanada memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Menurut Perkhidmatan Kebakaran Hutan British Columbia (BC Wildfire Service), kebakaran Bald Range kini meliputi lebih 136 kilometer persegi di Summerland, Peachland dan kawasan sekitarnya selepas saiznya meningkat dengan mendadak sejak dikesan pada Jumaat.
Datuk Bandar Summerland, Doug Holmes, menggesa penduduk bersedia menghadapi kemungkinan lebih buruk ketika anggota bomba terus bergelut mengawal kebakaran yang masih di luar kawalan.
Perdana Menteri British Columbia, David Eby, berkata seorang pegawai kebakaran menyamakan kebakaran itu seperti “letupan bom” berikutan kepantasan api merebak dan kemusnahan yang ditinggalkannya.
Beliau mengesahkan beberapa rumah dan hartanah telah musnah, manakala sebahagian penduduk terpaksa diselamatkan selepas terperangkap apabila keadaan berubah dengan pantas.
Pihak berkuasa turut memaklumkan kebakaran itu menghasilkan sistem cuacanya sendiri, termasuk mencetuskan kilat akibat haba melampau daripada api yang marak.
Summerland yang mempunyai kira-kira 12,000 penduduk antara kawasan paling teruk terjejas apabila seluruh bandar itu diarahkan berpindah.
Sebahagian kawasan di Peachland yang mempunyai sekitar 6,500 penduduk turut menerima arahan pemindahan segera.
Setakat ini, lebih 20,000 penduduk di seluruh British Columbia telah dipindahkan, menjadikannya operasi pemindahan terbesar akibat kebakaran hutan di wilayah itu pada musim panas tahun ini.
Selain kawasan perumahan, banyak ladang turut terjejas. Namun, pihak berkuasa masih belum dapat menentukan jumlah sebenar bangunan yang musnah kerana usaha memadam kebakaran masih diteruskan.
Ratusan penghuni pusat jagaan dan warga emas di Summerland turut dipindahkan ke kawasan lebih selamat, manakala beberapa daerah termasuk Central Okanagan dan Okanagan-Similkameen mengeluarkan arahan pemindahan serta amaran kecemasan kepada penduduk.
Dalam pada itu, penduduk di Okanagan berdepan kesukaran memindahkan haiwan ternakan, khususnya kuda.
Ada pemilik yang terpaksa membuka pagar kandang supaya haiwan mereka dapat mencari laluan keluar sendiri daripada kawasan bahaya.
Kanada terus berdepan musim kebakaran hutan yang aktif tahun ini dengan ratusan kebakaran dilaporkan di beberapa wilayah, termasuk Ontario, sekali gus menjejaskan kualiti udara dan memaksa pemindahan besar-besaran penduduk.