Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan: Prabowo beri amaran dedah nama syarikat asing terlibat

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi amaran tegas akan mendedahkan nama syarikat asing yang didakwa terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia. - Reuters
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi amaran tegas akan mendedahkan nama syarikat asing yang didakwa terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia. - Reuters

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi amaran tegas akan mendedahkan nama syarikat asing yang didakwa terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Beliau berkata, pemerintah akan menamakan firma berkenaan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap republik berkenaan.

Tegasnya, Indonesia tidak boleh terus dipandang rendah atau diganggu oleh pihak luar, meskipun rakyatnya dikenali sebagai masyarakat yang sopan dan sabar.

"Dan bagi negara-negara tertentu yang suka menghina bangsa Indonesia. Pada saatnya kita akan dedahkan (nama) syarikat-syarikat anda. 

"Bangsa Indonesia, bangsa yang santun. Bangsa Indonesia, bangsa yang sabar. Bangsa Indonesia sering dihina. Tapi bangsa Indonesia percayalah tidak mahu diganggu terus-menerus," katanya ketika mesyuarat Kabinet di Istana Merdeka, Jakarta, pada Rabu (21 Oktober).

Prabowo turut menyentuh sejarah campur tangan pihak luar yang menurutnya berulang kali cuba mengganggu kestabilan Indonesia, termasuk melalui usaha mencetuskan perpecahan, membiayai pemberontakan, mencetuskan rusuhan dan mengadu domba rakyat.

Mengulas mengenai kebakaran hutan, beliau turut menegaskan kerajaan akan membatalkan permit syarikat yang didapati melanggar undang-undang.

Pada hari yang sama, polis Indonesia menamakan 11 syarikat sebagai suspek dalam siasatan berterusan terhadap kebakaran hutan dan tanah termasuk tiga daripadanya firma pelaburan asing, menurut agensi berita negara Antara.

Ketua Polis Negara Jeneral Suyudi Ario Set enggan mengumumkan nama syarikat-syarikat berkenaan tetapi berkata siasatan diteruskan tanpa halangan besar.

 

Must Watch Video

Advertisement