WASHINGTON: Perbicaraan Tyler Robinson, lelaki yang didakwa membunuh aktivis konservatif Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk, akan bermula pada Jun 2028, menurut keputusan mahkamah di Utah.
Robinson, 23, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dengan keadaan memberatkan serta enam pertuduhan lain berkaitan kematian Kirk, 31, yang ditembak ketika sedang berucap di sebuah kampus kolej di Utah pada September 2025.
Hakim Daerah Utah, Tony Graf Jr, menetapkan proses pemilihan juri bermula pada 21 Jun 2028.
Pihak pendakwaan menganggarkan perbicaraan itu boleh berlangsung selama 17 minggu, manakala pasukan pembelaan menjangkakan ia mungkin mengambil masa sehingga tujuh bulan.
Jika disabitkan atas pertuduhan membunuh dengan keadaan memberatkan, Robinson berdepan kemungkinan hukuman mati.
Pendakwa sebelum ini memaklumkan mereka bersedia memulakan perbicaraan seawal Oktober 2027, namun peguam bela meminta lebih banyak masa untuk menyiapkan kes mereka dan mencadangkan tarikh pada 2029.
Balu Kirk, Erika Kirk, yang mempunyai dua anak bersama mendiang, sebelum ini menggesa agar perbicaraan diadakan secepat mungkin. Bagaimanapun, peguam keluarganya mengakui mereka terpaksa menerima jadual yang ditetapkan mahkamah.
Sepanjang prosiding awal pada Julai lalu, pendakwa raya mengemukakan beberapa bukti termasuk DNA yang didakwa mengaitkan Robinson dengan senjata pembunuhan, pengakuan yang dikatakan dibuat kepada individu terdekat serta rakaman kenyataan rakan serumahnya.
“Kami mempunyai bukti yang kukuh bahawa tertuduh adalah penembak,” kata pendakwa raya, Ryan McBride.
Sementara itu, pihak pembelaan mempertikaikan sebahagian bukti serta kelayakan saksi pakar yang dikemukakan pendakwa raya.