Skip to main content

Dunia

Lelaki maut dibaham harimau di zoo Britain selepas ceroboh kandang

Seorang lelaki maut selepas diserang seekor harimau di sebuah taman hidupan liar di United Kingdom pada Sabtu, selepas dipercayai memasuki kandang haiwan tersebut. - Gambar fail
Seorang lelaki maut selepas diserang seekor harimau di sebuah taman hidupan liar di United Kingdom pada Sabtu, selepas dipercayai memasuki kandang haiwan tersebut. - Gambar fail

Advertisement

LONDON: Seorang lelaki maut selepas diserang seekor harimau di sebuah taman hidupan liar di United Kingdom pada Sabtu, selepas dipercayai memasuki kandang haiwan tersebut.

Polis South Yorkshire memaklumkan, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan mengenai seorang lelaki yang memasuki kandang harimau di Yorkshire Wildlife Park, berhampiran bandar Doncaster di utara England.

Menurut polis, harimau berkenaan kemudian menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.

"Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi, namun walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh petugas perubatan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," menurut kenyataan polis.

Pihak berkuasa turut memaklumkan harimau terbabit kekal berada di dalam kandangnya selepas insiden itu dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam.

Kesemua pengunjung taman berkenaan telah dipindahkan keluar sebagai langkah keselamatan.

Yorkshire Wildlife Park mengesahkan satu "insiden serius" berlaku di kawasan kandang harimau yang menyebabkan taman itu ditutup serta-merta.

Perkhidmatan Ambulans Yorkshire berkata, pihaknya menghantar dua ambulans darat dan sebuah ambulans udara ke lokasi kejadian.

Kawasan pameran harimau di taman berkenaan, yang dikenali sebagai Land of the Tigers, mempunyai laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 300 meter yang membolehkan pengunjung melihat harimau Amur dari jarak dekat.

Habitat tersebut merangkumi kawasan hutan, padang rumput dan kolam air terjun yang direka menyerupai persekitaran semula jadi spesies itu.

Harimau Amur merupakan antara subspesies harimau paling terancam di dunia dengan dianggarkan hanya sekitar 500 ekor masih hidup di habitat liar.

Pihak taman hidupan liar itu memaklumkan ia akan terus ditutup pada Ahad susulan insiden berkenaan. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement