Skip to main content

Malaysia

Raja Jordan, Raja Abdullah II berangkat ke Malaysia hari ini

Raja Abdullah II berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara selama dua hari bermula Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. - Gambar Reuters
Raja Abdullah II berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara selama dua hari bermula Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. - Gambar Reuters

Advertisement

KUALA LUMPUR: Raja Jordan, Raja Abdullah II berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara selama dua hari bermula Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008.

"Lawatan negara ini berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang mula dijalinkan pada 1965," menurut kenyataan itu.

Keberangkatan baginda akan diiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Ayman Safadi serta pegawai kanan dari Istana Diraja Hasyimiah dan kerajaan Jordan.

Semasa lawatan itu, Raja Abdullah II akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, diikuti dengan majlis menghadap Sultan Ibrahim.

Baginda juga akan diraikan dalam satu Majlis Jamuan Negara dan dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia dan Jordan berkongsi hubungan rapat yang telah lama terjalin, terutamanya dalam bidang pendidikan.

Menurut Wisma Putra, setakat 2026, seramai 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

"Kedua-dua negara terus menggalakkan kerjasama pendidikan, kolaborasi akademik dan perkongsian kepakaran, di samping memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan bahawa selain hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin, Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen untuk memelihara keamanan, keadilan dan memastikan kestabilan yang berkekalan di rantau Asia Barat, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak sah rakyat Palestin.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat sebanyak 15.2 peratus berbanding 2024, dan terus berkembang sebanyak 8.0 peratus lagi kepada RM740.7 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement