NEW DELHI: Pihak berkuasa di ibu kota kewangan India, Mumbai, melarang pada Isnin pembakaran roket dan mercun yang meletup di udara dalam ruang awam serta persendirian sehingga 25 Nov berikutan peningkatan insiden kebakaran semasa sambutan Deepavali, lapor Xinhua.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Mumbai memaklumkan bahawa lokaliti berpenduduk padat, bangunan tinggi, kawasan setinggan, jalan raya sempit serta struktur kediaman dan komersial yang rapat meningkatkan risiko kemalangan kebakaran akibat mercun berkenaan, sekali gus mengancam nyawa dan harta benda.
Sekatan itu dibuat selepas Mumbai mencatatkan sebanyak 142 insiden kebakaran pada Ahad, dengan 137 daripadanya berpunca daripada mercun. Dua wanita turut dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Deepavali, festival cahaya bagi penganut Hindu, disambut di seluruh India dengan penuh penghayatan dan kegembiraan pada Ahad, dengan orang ramai membakar mercun bagi memeriahkan perayaan itu.
--BERNAMA-XINHUA