Skip to main content

Dunia

Obama serang Trump, dakwa kos sara hidup semakin membebankan rakyat AS

Obama melancarkan kritikan terbuka terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung peningkatan kos sara hidup dan konflik dengan Iran ketika turun berkempen untuk Parti Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal. - Gambar fail
Obama melancarkan kritikan terbuka terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung peningkatan kos sara hidup dan konflik dengan Iran ketika turun berkempen untuk Parti Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal. - Gambar fail

Advertisement

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melancarkan kritikan terbuka terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung peningkatan kos sara hidup dan konflik dengan Iran ketika turun berkempen untuk Parti Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Berucap pada siri kempen di Ohio dan Michigan pada Sabtu, Obama menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai peluang penting untuk rakyat AS mengehadkan pengaruh pentadbiran Trump yang menurutnya dipenuhi pelbagai kegagalan.

“Pilihan raya ini merupakan peluang terbaik terakhir untuk sekurang-kurangnya mengekang sebahagian daripada tindakan tidak masuk akal pentadbiran ini,” katanya.

Pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 3 November itu akan menentukan parti yang menguasai Kongres bagi baki tempoh pentadbiran Trump, dengan pengundian awal sudah pun bermula di beberapa negeri.

Dalam ucapannya di Cleveland, Obama menyifatkan dua tahun pentadbiran Trump sebagai tempoh yang dicemari kekacauan, rasuah dan ketidakcekapan.

“Selepas dua tahun penuh kekacauan, kekejaman, rasuah dan ketidakcekapan yang jarang kita lihat dalam era moden, rakyat kini mempunyai peluang untuk berkata, ‘sudah cukup’,” katanya.

Obama turut mengakui ramai pengundi menolak Demokrat pada pilihan raya 2024 kerana kebimbangan terhadap ekonomi dan inflasi pasca pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keadaan ekonomi semasa tidak boleh dipisahkan daripada dasar yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump.

“Jika sebelum ini anda merasakan segala-galanya terlalu mahal sebelum ‘orang itu’, sekarang semuanya menjadi lebih mahal,” katanya merujuk kepada Trump.

Beliau juga mengkritik pendekatan Washington dalam konflik Iran, dengan mendakwa perang yang berlarutan memberi Tehran pengaruh lebih besar ke atas Selat Hormuz, antara laluan perkapalan terpenting dunia.

Sementara itu, Trump mempertahankan tindakannya dalam menangani konflik tersebut.

“Saya telah mengendalikannya dengan sangat berkesan dan mungkin saya perlu menamatkannya, atau mungkin mereka akan mencapai perjanjian. Apa pun, kita akan menang,” katanya kepada wartawan.

Trump turut berkata "kita akan lihat" apabila ditanya sama ada Melania Trump akan mengadakan lawatan ke Ukraine selepas White House mendakwa Wanita Pertama itu berjaya membantu mendapatkan gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine di bandar Oleshky yang dikuasai Rusia.

Presiden AS itu kini berdepan tekanan untuk menurunkan harga minyak yang meningkat susulan konflik di Iran dan Ukraine.

Baru-baru ini, pentadbirannya turut memeterai perjanjian dengan Rusia bagi membolehkan diesel negara itu dieksport ke AS, meskipun langkah tersebut menerima kritikan daripada ahli politik kedua-dua parti.

Dalam satu lagi sindiran yang mencuri perhatian hadirin, Obama turut menyentuh usaha Trump menghias semula White House.

“Apa hal dengan semua warna emas itu? Dia membuatkan White House kelihatan seperti Saddam Hussein membuka restoran Cheesecake Factory,” katanya berseloroh.

Kempen Obama di Ohio merupakan penampilan pertamanya dalam pilihan raya pertengahan penggal 2026 bagi menyokong calon Demokrat, termasuk bekas Senator Sherrod Brown yang mencabar Senator Republikan John Husted serta Amy Acton yang bertanding bagi jawatan Gabenor Ohio menentang Vivek Ramaswamy.

Obama turut mengkritik Ramaswamy susulan kemunculan iklan kempen yang menampilkan ibu kandung Acton yang telah lama terpisah daripadanya dan menuduh calon Demokrat itu sebagai pembohong.

Menurut Obama, tindakan berkenaan membuktikan lawannya sanggup melampaui batas demi meraih perhatian pengundi.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kita melihat tiada garis yang tidak akan dilanggarnya dan tiada tahap rendah yang tidak akan dicapainya demi mendapatkan perhatian,” katanya.

Acton yang turut berucap pada perhimpunan tersebut mendakwa Ramaswamy mengeksploitasi kisah pahit zaman kanak-kanaknya bagi menyelamatkan kempen yang sedang bergelut mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement