JAKARTA: Pencemaran udara mencapai paras bahaya di enam lokasi di Indonesia pada Jumaat, dengan Pekanbaru di wilayah Riau di Pulau Sumatera mencatatkan bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) tertinggi iaitu 835, menurut Kementerian Alam Sekitar.
Data yang dibentangkan semasa sidang media secara dalam talian menunjukkan lima lokasi lain terletak di Wilayah Kalimantan Tengah, iaitu Katingan pada bacaan 456, Kotawaringin Timur (364), Gunung Mas (341), Murung Raya (319) dan Jekan Raya (301).
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan menggesa penduduk yang terjejas akibat asap daripada kebakaran hutan dan tanah supaya mengurangkan aktiviti luar serta mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami masalah kesihatan.
"Jika aktiviti luar tidak dapat dielakkan, sila terus memakai pelitup muka. Mereka yang terjejas akibat asap perlu segera mendapatkan bantuan di pusat kesihatan masyarakat , klinik atau hospital terdekat," katanya pada sidang media berkenaan.
Di bawah klasifikasi ISPU Indonesia, bacaan 301 dan ke atas dikategorikan sebagai bahaya, iaitu ambang nilai yang sama digunakan bagi kategori bahaya di bawah Indeks Pencemaran Udara (IPU) Malaysia.
Berton berkata ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan asap tebal terkumpul di sebahagian kawasan Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat, dengan angin membawa bahan pencemaran berkenaan ke arah utara.
Peta yang dipaparkan semasa sidang media itu turut menunjukkan asap dari sebahagian Sumatera dan Kalimantan bergerak ke arah utara menuju ke Malaysia.
Berton memaklumkan enam wilayah kekal menjadi keutamaan bagi menangani kebakaran hutan dan tanah iaitu Riau, Jambi dan Sumatera Selatan di Pulau Sumatera, serta Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan di Wilayah Borneo Indonesia.
Beliau berkata titik panas meningkat di tiga daripada enam wilayah keutamaan berkenaan, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan lonjakan paling ketara daripada 412 kepada 4,359, diikuti Riau yang naik 139 kepada 207 dan Jambi meningkat 14 kepada 56.
Sebaliknya, beliau berkata titik panas berkurangan sebanyak 1,083 kepada 1,742 di Kalimantan Barat, merosot 180 kepada 899 di Kalimantan Selatan dan turun 24 kepada 1,151 di Sumatera Selatan.
Berton berkata anggaran keluasan kawasan terjejas akibat kebakaran di enam wilayah berkenaan melebihi 75,386 hektar, dengan Kalimantan Barat mencatatkan keluasan terbesar iaitu melebihi 38,310 hektar, diikuti Riau melebihi 16,465 hektar dan Kalimantan Selatan melebihi 10,095 hektar.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Jenayah Khas) Polis Republik Indonesia Brig Jen Mohammad Irhamni berkata jumlah suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah meningkat kepada 89 orang berbanding 72 orang sebelum ini susulan tindakan polis mempertingkat siasatan, terutamanya di lokasi kebakaran, menurut Agensi Berita Antara.
Beliau dilaporkan berkata suspek yang dikenal pasti setakat ini terdiri daripada individu, namun penyiasat sedang meneliti bukti bagi kemungkinan penglibatan pihak korporat, dengan 189 laporan polis telah dibuat setakat ini.
-- BERNAMA