Skip to main content

Dunia

Penurunan harga minyak mungkin sementara susulan rundingan AS-Iran goyah

U.S. and Iranian flags, 3D printed oil barrels and rising stock graph are seen in this illustration taken March 23, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration
Setakat 7.36 malam ini, Brent susut 5.12 peratus kepada AS$83.52 setong manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate turun 5.80 peratus kepada AS$79.76 setong. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penurunan ketara harga minyak mentah global berkemungkinan bersifat sementara ketika sentimen pasaran kekal sensitif terhadap perkembangan berkaitan cadangan rundingan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata ahli ekonomi.

Setakat 7.36 malam ini, Brent susut 5.12 peratus kepada AS$83.52 setong manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate turun 5.80 peratus kepada AS$79.76 setong.

Brent sebelum ini melonjak ke paras AS$94.68 setong pada 22 Julai 2026 daripada AS$71.57 setong pada 1 Julai 2026.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan harga minyak itu adalah susulan kenyataan Presiden Donald Trump bahawa rundingan baharu dengan Iran dijangka  bermula pada 3 Ogos 2026.

“Kenyataan berkenaan sekali gus meningkatkan harapan mengenai kemungkinan persetujuan dapat dicapai bagi membuka semula Selat Hormuz yang meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan tenaga global,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata sukar dipastikan sama ada aliran penyusutan harga minyak itu adalah bagi tempoh lebih panjang memandangkan rundingan baharu itu yang kekal goyah.

“Presiden Trump diketahui cenderung membuat pengumuman mengejut yang boleh menjejaskan sentimen pasaran dan menjadikan aliran semasa kepada sebaliknya,” katanya.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan harga minyak mentah mungkin kekal tidak menentu ketika sebarang kebuntuan dalam proses diplomatik atau ketegangan geopolitik yang terus memuncak, boleh mengundang risiko dan menyebabkan harga minyak melonjak semula.

Pada Ahad, Trump bertindak mengumumkan rundingan baharu dengan Iran bermula pada Isnin selepas memutuskan untuk menangguhkan serangan tentera AS dalam usaha menangani program nuklear Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement