GENEVA: Perancis mengerahkan 70,000 anggota polis dan pasukan polis tentera di seluruh negara pada Sabtu sebagai persediaan menghadapi gelombang baharu demonstrasi, susulan amaran pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlaku keganasan, sekatan laluan dan kerosakan harta benda ketika perhimpunan tanpa kebenaran, lapor Anadolu Ajansi.
Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez mengumumkan langkah keselamatan itu pada sidang media Jumaat, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan pada Sabtu.
Kementerian itu memaklumkan bahawa banyak seruan untuk mengadakan demonstrasi dibuat tanpa kepimpinan rasmi atau pengawasan kesatuan sekerja, dengan sebahagiannya turut disertai seruan melakukan keganasan dan gangguan menerusi media sosial.
Pihak berkuasa mengeluarkan arahan melarang demonstrasi di beberapa pusat bandar, manakala penganjur protes yang telah dimaklumkan secara rasmi diminta menggunakan laluan alternatif.
Menurut kenyataan itu, operasi keselamatan berkenaan melibatkan 110 unit pasukan bergerak, 25 kenderaan berperisai Centaur, meriam air, helikopter dan dron.
Polis turut menjalankan pemeriksaan di jalan raya, landasan kereta api dan stesen bagi merampas barangan berbahaya yang boleh digunakan sebagai senjata.
Menurut akhbar Le Monde, beberapa perhimpunan dirancang di seluruh Perancis, termasuk demonstrasi di Paris anjuran kumpulan pelajar dan kesatuan sekerja antara Place de la Republique dan Place de la Nation.
Secara berasingan, gerakan Jaket Kuning merancang untuk berhimpun di Place de la Concorde.
Kementerian itu memaklumkan bahawa demonstrasi aman akan dilindungi, namun memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap perusuh dan perompak yang akan ditahan.
Gerakan protes pelajar semakin meluas di seluruh Perancis sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan penunjuk perasaan menyekat akses ke sekolah dan menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan serta sumber pendidikan.
Protes itu merupakan sebahagian daripada hari tindakan nasional yang lebih besar pada 5 Nov, apabila Kementerian Dalam Negeri merekodkan 575,000 peserta dalam 193 perhimpunan awam di seluruh negara, termasuk 65,000 di Paris.
-- BERNAMA-ANADOLU