KUALA LUMPUR: Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian menafikan dakwaan bahawa beliau bercadang meletakkan jawatan, sambil menegaskan akan terus kekal memimpin pentadbiran negara.
Memetik laporan Agensi Berita Iran, Tasnim News, beliau turut menolak spekulasi kononnya wujud perbezaan pendapat antara pentadbirannya dengan Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyed Mojtaba Khamenei.
Pezeshkian berkata beliau sendiri akan mengumumkan sekiranya berhasrat melepaskan jawatan, namun menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.
"Jika saya benar-benar mahu meletakkan jawatan, saya sendiri yang akan mengumumkannya. Tetapi saya tidak akan meletakkan jawatan dan akan terus berdiri teguh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam rakaman temu bual televisyen sempena ulang tahun kedua pentadbirannya, yang petikannya disiarkan lebih awal hari ini sebelum disiarkan penuh oleh Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB).
Dalam temu bual itu, Pezeshkian turut menegaskan pentadbirannya mempunyai penyelarasan penuh dengan Angkatan Tentera Iran.
"Kami mempunyai penyelarasan sepenuhnya dengan angkatan tentera," katanya.
Beliau berkata terdapat pihak yang cuba mewujudkan persepsi kononnya pentadbirannya mempunyai perbezaan pendapat dengan Ayatollah Seyed Mojtaba Khamenei.
Menurutnya, dakwaan tersebut sengaja dimainkan bagi menimbulkan keraguan terhadap kestabilan pentadbiran negara.
Kenyataan itu dibuat susulan penyebaran khabar angin sejak beberapa hari lalu yang mendakwa beliau bakal meletakkan jawatan sebagai presiden.
Sebelum ini, Timbalan Bahagian Penerangan dan Komunikasi Pejabat Presiden, Mohammad Mahdi Tabatabaei, turut menafikan dakwaan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai "tidak berasas" dan "pembohongan terang-terangan".
Beliau mendakwa khabar angin itu disebarkan oleh golongan pelampau politik bagi menggugat perpaduan nasional serta menguntungkan musuh-musuh Iran.