KUALA LUMPUR: Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) terus mencatat kemajuan mengikut jadual apabila Pakej 1 merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 34.63 peratus setakat 31 Julai lalu.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan projek kini berjalan lancar di beberapa lokasi utama.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pengalihan utiliti telah mencapai 75 peratus, manakala kerja geoteknikal di Jalan Tun Hussein Onn yang melibatkan pembinaan jambatan baharu mencatat kemajuan 68 peratus.
Selain itu, kerja di Persimpangan Timur–Barat pula telah mencapai 48 peratus sebagai persediaan untuk fasa pembinaan seterusnya.
Bagi memastikan projek terus berjalan mengikut jadual, PLUS bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pasukan perunding dan kontraktor melaksanakan kerja pembinaan secara serentak di beberapa lokasi.
Usaha itu turut melibatkan lanjutan waktu bekerja termasuk pada hujung minggu serta penggunaan jentera berkapasiti tinggi bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
Dalam perkembangan sama, proses tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 kini telah dibuka sebagai langkah meneruskan pelaksanaan keseluruhan projek.
Menurut PLUS, perkembangan itu mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan PTJSD disiapkan mengikut perancangan bagi mengurangkan kesesakan di koridor Juru–Sungai Dua.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari dengan mengasingkan aliran trafik lebuh raya dan trafik tempatan.
Langkah itu dijangka mengurangkan masa perjalanan di laluan Juru–Sungai Dua daripada kira-kira satu jam kepada sekitar 20 minit, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang.