Skip to main content

Dunia

Pilihan Raya Israel: Kertas undi hilang, dirosakkan

Seorang wanita membuang undi di bandar Umm al-Fahm yang didiami komuniti Arab, utara Israel, 27 Okt 2026. REUTERS
Seorang wanita membuang undi di bandar Umm al-Fahm yang didiami komuniti Arab, utara Israel, 27 Okt 2026. REUTERS

Advertisement

TEL AVIV: Parti Yashar yang dipimpin bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot yang merupakan pencabar utama Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendakwa menerima laporan mengenai kemungkinan penyelewengan dan kecurian kertas undi di beberapa pusat mengundi ketika Pilihan Raya Umum yang dijangka sengit berlangsung pada Selasa.

“Aduan rasmi akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat. Kami menggesa orang ramai terus melaporkan sebarang insiden yang melanggar peraturan.

“Kami tidak akan membiarkan sesiapa menggagalkan perubahan yang ingin kami bawa," tegas parti itu lagi menerusi catatan di platform X.

Sementara itu, Parti Pasukan Simpanan-Ekonomi pimpinan Yoaz Hendel memaklumkan pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat berhubung laporan kehilangan dan kerosakan kertas undi di beberapa pusat mengundi.

“Selepas kempen berita palsu Likud, kami menerima banyak aduan bahawa kertas undi parti kami telah dirosakkan atau dialihkan,” kata Hendel sambil menggesa pengundi memastikan kertas undi yang memaparkan lambang partinya tersedia di pusat mengundi.

“Pihak yang cuba menjatuhkan kami tidak akan berjaya. Pasukan simpanan yang menyelamatkan negara ini akan melakukannya sekali lagi," ujarnya.

Aduan itu menyusul laporan serupa daripada Parti People of Israel diketuai Ofer Winter dan Parti Yisrael Beytenu pimpinan Avigdor Liberman, yang turut mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

Setakat jam 10 pagi (waktu tempatan), jumlah individu keluar mengundi mencecah 16.7 peratus berbanding 15.9 peratus pada waktu sama ketika pilihan raya 2022 dan angka itu merupakan yang tertinggi sejak 1981. - Agensi/Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement