Ringkasan AI
- Presiden Rusia, Vladimir Putin bertemu Ketua Keselamatan Iran, Mohsen Rezaei di Moscow untuk membincangkan isu keselamatan serantau dan usaha menamatkan konflik dengan Amerika Syarikat.
- Rezaei menyerahkan surat daripada Pemimpin Tertinggi Iran kepada Putin dan menegaskan Selat Hormuz tidak akan dibuka selagi tujuh syarat Iran tidak dipenuhi oleh AS.
- Kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama tenaga, termasuk cadangan pembinaan saluran paip gas Rusia-Iran bagi mengatasi kekurangan bekalan gas di Iran.
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan pertemuan dengan ketua keselamatan Iran, Mohsen Rezaei di Moscow pada Khamis bagi membincangkan isu keselamatan serantau ketika usaha diplomatik dipergiat untuk menamatkan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Menurut media kerajaan Iran, Press TV, Rezaei turut menyampaikan sepucuk surat daripada Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, kepada Putin, namun kandungan mesej itu tidak didedahkan.
Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Rezaei berkata perbincangan memberi tumpuan kepada susunan keselamatan pasca perang di rantau berkenaan serta sokongan Rusia untuk menamatkan apa yang disifatkannya sebagai “pencerobohan” AS terhadap Iran.
“Isu-isu penting serantau dibincangkan bersama Putin, termasuk perancangan bagi tempoh selepas perang dan mekanisme keselamatan serantau,” katanya.
Rezaei turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama tenaga, termasuk cadangan pembinaan saluran paip gas dari Rusia ke Iran.
Menurut beliau, lawatan ke Moscow sebenarnya telah dirancang hampir sebulan lalu tetapi ditangguhkan berikutan perkembangan harian berkaitan situasi ketenteraan di rantau itu.
Dalam kenyataan bertulis pada Rabu, Khamenei menegaskan Iran tidak boleh menunjukkan “walau sedikit pun kecenderungan untuk tunduk” kepada AS dan menggesa negara itu terus memperkukuh keupayaan pencegahan strategiknya.
Sementara itu, pertemuan Rezaei dan Putin berlangsung ketika Qatar meningkatkan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik susulan kebimbangan AS mungkin melancarkan serangan baharu selepas pilihan raya pertengahan penggal negara itu.
Rezaei menegaskan Tehran tidak akan membuka semula Selat Hormuz atau mengadakan rundingan dengan Washington berhubung penamatan konflik selagi AS gagal memenuhi tujuh syarat yang dikemukakan Iran.
“Mengenai diplomasi, kami telah mengemukakan tujuh syarat kepada pihak Amerika. Selagi syarat itu tidak dipenuhi, Selat Hormuz tidak akan dibuka dan rundingan tidak akan diadakan,” katanya.
Beliau berkata Putin sekali lagi menyatakan kesediaan Rusia membantu menamatkan konflik tersebut.
Pada bulan lalu, Putin dilaporkan memberitahu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bahawa Moscow bersedia melakukan “segala yang termampu” ke arah itu.
Selain isu keselamatan, kedua-dua pihak turut membincangkan projek saluran paip gas Rusia-Iran yang bertujuan mengatasi kekurangan bekalan gas di Iran serta membuka peluang eksport gas Rusia ke negara-negara jiran Iran.
Rezaei turut memaklumkan kepada Putin mengenai mesyuarat melibatkan Iran, Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan di Tehran pada Oktober lalu, yang menurutnya disambut baik oleh pemimpin Rusia itu.
Hubungan Rusia dan Iran semakin erat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam bidang diplomatik dan ketenteraan, ketika kedua-dua negara berdepan sekatan Barat.
Pada Januari 2025, kedua-dua negara menandatangani perjanjian perkongsian strategik merangkumi perdagangan, kerjasama ketenteraan, sains, budaya dan pendidikan.
Menurut laporan media Iran, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kuwait, Arab Saudi, Oman, Qatar, Turkiye dan Jordan bagi membincangkan perkembangan serantau serta usaha diplomatik berterusan untuk mempromosikan keamanan.