Ringkasan AI
- Lebih 500 keluarga Palestin dipindahkan secara paksa akibat operasi ketenteraan Israel yang berterusan di bandar Hebron, Tebing Barat.
- Penduduk yang terkandas bergantung kepada bantuan kemanusiaan ICRC, manakala akses ke kawasan tertentu masih disekat pasukan keselamatan Israel.
- Operasi turut melibatkan perobohan kediaman, penahanan puluhan individu termasuk wartawan, serta peningkatan kehadiran peneroka Yahudi di Hebron.
HEBRON: Ratusan keluarga Palestin terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ketika operasi ketenteraan Israel di bandar Hebron terus berlanjutan, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di kawasan berkenaan.
Menurut sumber tempatan, sekurang-kurangnya 537 keluarga telah dipindahkan secara paksa sejak operasi itu bermula, manakala ramai lagi penduduk masih terkandas di dalam kawasan kejiranan mereka akibat sekatan dan kawalan ketat tentera Israel.
Penduduk yang tidak dapat keluar kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang disalurkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas.
Beberapa keluarga yang dipindahkan dilaporkan cuba kembali ke rumah mereka, namun usaha itu gagal apabila akses ke kawasan terbabit masih disekat pasukan keselamatan Israel.
Pada masa sama, penduduk mendakwa tentera Israel turut menjalankan operasi perobohan dan merosakkan beberapa kediaman di sekitar daerah Hebron.
Operasi berkenaan juga menyaksikan puluhan individu, termasuk wartawan, ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Setakat ini, tiada petunjuk jelas mengenai tempoh operasi itu akan diteruskan, namun perkembangan tersebut terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pertubuhan hak asasi manusia.
Hebron merupakan antara bandar paling sensitif di Tebing Barat kerana menempatkan komuniti peneroka Yahudi yang berpengaruh serta mempunyai hubungan rapat dengan tokoh kanan politik berhaluan kanan di Israel, termasuk Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.
Pengkritik kerajaan Israel mendakwa operasi berpanjangan di bandar itu bukan sekadar atas alasan keselamatan, sebaliknya mempunyai tujuan politik dan ideologi yang lebih luas, termasuk mengukuhkan pengaruh peneroka Yahudi di kawasan berkenaan.
Minggu lalu, peneroka Israel dilaporkan memasang unit kediaman mudah alih di atas premis perniagaan milik penduduk Palestin di Kota Lama Hebron, dalam tindakan yang dilihat sebagai sebahagian usaha memperluas kehadiran mereka di bandar bersejarah itu.
Hebron sejak sekian lama menjadi titik pertikaian antara penduduk Palestin dan peneroka Israel, dengan ketegangan sering memuncak susulan sekatan pergerakan, pengusiran penduduk serta pertikaian berhubung pemilikan tanah dan hartanah.