Skip to main content

Dunia

Rusia tahan wartawan Jepun disyaki mengintip maklumat pertahanan

Pemandangan Dataran Lubyanskaya dengan bangunan bersejarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) di sebelah kiri, di Moscow, Rusia yang dirakamkan pada 2023. - Gambar fail/ AP
Pemandangan Dataran Lubyanskaya dengan bangunan bersejarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) di sebelah kiri, di Moscow, Rusia yang dirakamkan pada 2023. - Gambar fail/ AP

Advertisement

MOSCOW: Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) menahan seorang wartawan Jepun kerana disyaki mengumpul maklumat berkaitan keupayaan pertahanan negara itu.

Menurut laporan agensi berita pada Selasa, wartawan akhbar Hokkaido Shimbun itu ditahan di wilayah Sakhalin di timur jauh Rusia ketika beliau dilaporkan bersiap untuk meninggalkan negara berkenaan.

Interfax melaporkan, wartawan itu kemudiannya dipindahkan ke Moscow untuk ditahan.

Rakaman televisyen kerajaan Rusia menunjukkan seorang lelaki dalam keadaan terbaring di lantai dan digari oleh tiga anggota bertopeng yang berpakaian seragam hitam.

Dalam rakaman berkenaan, satu suara kedengaran memberitahu lelaki terbabit bahawa beliau disyaki melakukan kegiatan pengintipan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan beliau menaiki pesawat dengan diiringi dua anggota FSB sebelum dibawa ke sebuah mahkamah di Moscow.

Mahkamah berkenaan kemudian membenarkan beliau ditahan selama hampir dua bulan.

Hubungan Moscow dan Tokyo berada dalam keadaan tegang dengan Rusia menganggap Jepun sebagai sebuah negara "tidak mesra" susulan tindakan Tokyo menyertai sekatan Barat terhadap Moscow berhubung perang di Ukraine.

Kedutaan Jepun di Moscow tidak dapat dihubungi di luar waktu pejabat bagi mendapatkan maklum balas.

Rusia dan Jepun juga tidak pernah menandatangani perjanjian damai rasmi selepas Perang Dunia Kedua, dengan pertikaian wilayah Kepulauan Kuril menjadi antara halangan utama.

Kepulauan berkenaan dikenali sebagai Wilayah Utara di Jepun dan menjadi pertikaian berpanjangan antara kedua-dua negara.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, melawat salah sebuah pulau yang dipertikaikan itu pada Ogos lalu, sekali gus mencetuskan bantahan di Jepun.

Tokyo sebelum ini menegaskan akan terus melaksanakan sekatan terhadap Rusia selain menyokong Ukraine.

Kes itu mengingatkan kepada penahanan wartawan Wall Street Journal, Evan Gershkovich, di Rusia pada 2023.

Gershkovich didapati bersalah atas tuduhan pengintipan oleh sebuah mahkamah Rusia dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun sebelum dibebaskan menerusi pertukaran tahanan antara Rusia dan Barat pada Ogos 2024. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement