WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm di Iran, menurut laporan Wall Street Journal yang memetik pegawai AS pada Isnin.
Perkembangan itu menyusul beberapa kejadian letupan di pulau berkenaan yang sebelum ini dilaporkan agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Menurut Wall Street Journal, serangan itu merupakan yang terbaharu dalam siri operasi ketenteraan berskala terhad yang dilancarkan Washington sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Laporan itu menyebut serangan berkenaan dilaksanakan dalam skala lebih kecil dan dirahsiakan bagi mengelakkan sebarang isyarat bahawa AS berhasrat menyambung semula kempen ketenteraan besar-besaran terhadap Iran.
Bagaimanapun, Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) belum memberikan sebarang maklum balas segera berhubung laporan berkenaan.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump menimbulkan keraguan sama ada Washington akan meneruskan ancaman untuk melancarkan semula serangan ketenteraan terhadap Iran, sambil menyatakan kemungkinan mencapai persetujuan dengan Tehran.
Ketika ditanya pemberita sama ada beliau mempertimbangkan serangan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada Selasa, Trump menjawab tidak.
Washington dan Tehran terlibat dalam konflik ketenteraan sejak 28 Februari lalu.
Pulau Qeshm yang terletak di Selat Hormuz mempunyai kepentingan strategik berikutan kedudukannya berhampiran laluan utama perdagangan maritim antarabangsa.