Skip to main content

Dunia

Taufan Simon semakin kuat, ancam kawasan pelancongan di pantai Pasifik Mexico

Seorang anggota Pengawal Kebangsaan Mexico meronda di pantai Nuevo Nayarit sambil mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan itu ketika penduduk dan peniaga membuat persiapan menghadapi Taufan Simon di Bahia de Banderas, Mexico. - Foto REUTERS
Seorang anggota Pengawal Kebangsaan Mexico meronda di pantai Nuevo Nayarit sambil mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan itu ketika penduduk dan peniaga membuat persiapan menghadapi Taufan Simon di Bahia de Banderas, Mexico. - Foto REUTERS

Advertisement

MANZANILLO: Taufan Simon semakin kuat di perairan Pasifik Mexico dan dijangka mencapai Kategori 4 sebelum membadai kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong di barat daya negara itu.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), Simon kini membawa angin berterusan sehingga 177 kilometer sejam dan berpotensi menjadi taufan besar dalam tempoh terdekat.

Taufan itu dijangka mendarat pada Ahad di kawasan antara Manzanillo, pelabuhan terbesar Mexico di Pantai Pasifik, dan Puerto Vallarta, destinasi peranginan pantai yang popular.

Pihak berkuasa Mexico telah menggerakkan pasukan kecemasan di negeri Colima serta mengehadkan pergerakan trafik maritim di beberapa kawasan pantai Pasifik.

Beberapa pelabuhan turut ditutup kepada bot dan kapal kecil.

Di Manzanillo, para nelayan dilaporkan mengalihkan bot masing-masing dari pantai, manakala bendera hitam dikibarkan sebagai amaran bahawa kawasan pantai ditutup kepada orang ramai.

Pakar meteorologi memberi amaran bahawa Simon boleh membawa hujan lebat, banjir yang mengancam nyawa dan tanah runtuh, terutama di negeri Michoacan, Colima, Jalisco dan Nayarit.

Pihak berkuasa turut menjangkakan hujan lebat akan melanda Guerrero, Michoacan, Colima dan Jalisco dalam beberapa hari akan datang.

Minggu lalu, Taufan Polo melanda Semenanjung Baja California sebagai taufan Kategori 2, menyebabkan pokok tumbang, tiang utiliti rosak dan beberapa kawasan dilanda banjir.

 

 

Must Watch Video

Advertisement