Skip to main content

Dunia

Thailand mahu ketatkan kawalan ganja, cadang hukuman lebih berat

Anutin Charnvirakul berkata cadangan pindaan terhadap Akta Narkotik berkaitan ganja telah dibincangkan pada Mesyuarat Ketiga Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) tahun ini pada Khamis. - Gambar fail
Anutin Charnvirakul berkata cadangan pindaan terhadap Akta Narkotik berkaitan ganja telah dibincangkan pada Mesyuarat Ketiga Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) tahun ini pada Khamis. - Gambar fail

Advertisement

BANGKOK: Thailand merancang untuk mengetatkan kawalan ke atas ganja dan meningkatkan hukuman bagi pelanggaran undang-undang sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk memperkukuh langkah penguatkuasaan  dan pencegahan penyalahgunaan dadah di negara itu.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata cadangan pindaan terhadap Akta Narkotik berkaitan ganja telah dibincangkan pada Mesyuarat Ketiga Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) tahun ini pada Khamis.

“Dasar dadah mesti berasaskan bukti saintifik, fakta dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang Kerajaan Diraja Thailand. 

Beliau berkata kerajaan akan mengekalkan perbezaan yang jelas antara penggunaan ganja untuk tujuan perubatan dan penggunaan rekreasi.

Kementerian Kesihatan Awam serta agensi berkaitan diarahkan untuk memeriksa premis berlesen dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha yang melanggar syarat lesen, termasuk kemungkinan lesen mereka dibatalkan, katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan pindaan undang-undang dadah bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemilikan dadah, termasuk kesalahan kuantiti kecil, di samping memastikan rawatan dan pemulihan dipertimbangkan secara wajar bersama tindakan undang-undang.

Anutin berkata beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kastam untuk meningkatkan pemeriksaan, pengumpulan maklumat risikan dan pemeriksaan rawak bagi mengelakkan penyelewengan dan eksport barangan haram, terutamanya yang berpotensi berkaitan dengan narkotik.

"Eksport batang, daun dan tunas bunga ganja mesti mematuhi undang-undang Thailand, manakala ekstrak ‘cannabidiol’ (CBD) boleh dieksport tertakluk kepada syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA)," katanya.

Thailand membenarkan penggunaan ganja pada 2022, namun susulan kebimbangan mengenai penggunaan rekreasi dan perniagaan berkaitan ganja yang berkembang pesat, kerajaan sejak itu mengambil langkah untuk mengetatkan peraturan.

Pada 22 Sept 2026, Kabinet Thailand meluluskan draf Akta Ganja dan Hem bagi mengehadkan ganja  untuk kegunaan perubatan sahaja serta memansuhkan pasaran rekreasi secara berperingkat.

Sementara itu, mengenai keselamatan di wilayah sempadan selatan,  Anutin berkata Majlis Keselamatan Negara telah menghimpunkan agensi keselamatan, perisikan dan pentadbiran berkaitan untuk merangka strategi operasi yang disepadukan.

"Tujuannya adalah untuk memastikan semua agensi mempunyai kefahaman yang sama dan bekerjasama di bawah pelan strategik yang sama secara bersepadu," katanya.

Beliau berkata agensi keselamatan telah diarahkan untuk memantau perkembangan dengan teliti, memperkukuh pengawasan dan menyelaraskan perisikan bagi mengelakkan peningkatan konflik serta memelihara ketenteraman awam dan keselamatan penduduk.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement