KUALA LUMPUR: Jumlah titik panas di Kalimantan meningkat 254 kepada 520 hari ini, manakala di Sumatera bertambah 12 kepada 176, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata kepulan asap rentas sempadan sederhana sehingga tebal berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat, dan bergerak ke arah utara menuju bahagian barat Sarawak.
Beliau berkata keadaan itu turut menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan negara merosot, dengan 10 kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah dan Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 7 malam ini.
Sri Aman dan IPD Serian di Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 157, diikuti Cheras (156) dan Johan Setia, Selangor (153).
Kawasan lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan (138); Putrajaya dan Shah Alam, Selangor (masing-masing 127); Batu Muda, Kuala Lumpur (114); Seremban, Negeri Sembilan (110) serta Sungai Petani, Kedah (106).
Azuri Azizah berkata berdasarkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-20 yang dianalisis ASMC, tiga titik panas turut dikesan di Malaysia, masing-masing satu di Terengganu, Johor dan Sarawak.
Beliau berkata Peta Jerebu Serantau ASMC turut menunjukkan keadaan cuaca kering di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan, dengan titik panas terpencil sehingga bertaburan dikesan di rantau berkenaan.
Susulan keadaan itu, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.
Ini termasuk persediaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, selain melaksanakan langkah seperti menghentikan aktiviti luar darjah, menutup sekolah, tadika dan taska serta menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA).
Orang ramai boleh memantau bacaan IPU terkini menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi MyJAS EQMS.
-- BERNAMA