Skip to main content

Dunia

Tragedi banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet berpunca daripada runtuhan glasier

A drone view shows mud covering properties following a flash flood at Trishuli in Nuwakot district, Nepal, August 26, 2026. REUTERS/Stringer
Pemandangan udara menunjukkan kediaman dan hartanah lain diselaputi lumpur selepas banjir kilat melanda Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal. - Foto REUTERS
Advertisement

KATHMANDU: Runtuhan sebahagian glasier di Himalaya yang dipercayai dicetuskan oleh gempa bumi dikenal pasti sebagai punca banjir kilat dahsyat yang melanda kawasan sempadan Nepal dan Tibet pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 157 nyawa setakat ini.

Pihak berkuasa di kedua-dua wilayah turut memberi amaran bahawa jumlah korban dijangka meningkat berikutan kemusnahan besar serta ramai mangsa yang masih belum dapat dikesan.

Menurut laporan, bahagian bawah sebuah glasier di banjaran Himalaya runtuh sebelum menghempap dasar lembah berhampiran kawasan sempadan.

Kejadian itu mencetuskan aliran besar ais, batu dan lumpur yang bergerak deras menyusuri Sungai Lhende Khola.

Aliran runtuhan itu kemudian melanda Pelabuhan Gyirong di Tibet serta beberapa kawasan di Nepal, sekali gus mencetuskan banjir kilat berkelajuan tinggi yang memusnahkan jalan raya, projek jana kuasa dan menenggelamkan kampung-kampung berhampiran.

Setakat ini, sebanyak 157 mayat telah ditemukan, namun angka sebenar mangsa yang hilang masih belum dapat dipastikan.

Laporan media menyatakan lebih 400 pelawat asing turut dilaporkan hilang, termasuk 133 warga India yang menyertai rombongan keagamaan, 47 warga Amerika Syarikat, 34 warga Australia, 33 warga Britain dan 24 warga Kanada.

Turut dilaporkan hilang ialah sembilan warga Korea Selatan yang bekerja di sebuah loji hidroelektrik, selain beberapa warga Malaysia dan Afrika Selatan.

Di India, kira-kira 5,000 penduduk di negeri Bihar telah dipindahkan selepas amaran banjir dikeluarkan susulan keadaan cuaca dan paras air yang semakin membimbangkan.

Operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan dengan bantuan polis serta anggota tentera.

Bagaimanapun, pegawai memberi amaran bahawa helikopter penyelamat belum dapat mendarat di beberapa kawasan terjejas sehingga paras air surut.

Bekalan elektrik turut terputus di banyak lokasi, manakala timbunan lumpur dan sedimen yang dibawa banjir menyukarkan usaha menyelamat serta penilaian kerosakan.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat, manakala komuniti di sepanjang sungai dinasihatkan supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya banjir susulan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa pihaknya sedang menggerakkan bekalan bantuan dan kakitangan bagi menyokong komuniti yang terjejas.

Kerajaan India pula berkata ia sedang menyelaras rapat dengan Kathmandu dalam operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan, sementara Korea Selatan mengumumkan penghantaran pasukan tindak balas pantas ke kawasan bencana.

 

 

Must Watch Video

Advertisement