Skip to main content

Dunia

Trump akui tindakan terhadap kepimpinan Iran mungkin menjejaskan rundingan

Presiden Donald Trump berucap pada perhimpunan kempen pilihan raya pertengahan penggal di Dubuque, Iowa, pada Ahad. - Gambar Reuters
Presiden Donald Trump berucap pada perhimpunan kempen pilihan raya pertengahan penggal di Dubuque, Iowa, pada Ahad. - Gambar Reuters

Advertisement

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump mengakui tindakan ketenteraan terhadap kepimpinan Iran mungkin menyukarkan usaha rundingan antara kedua-dua negara.
  • Trump mempertahankan serangan dron yang membunuh Qasem Soleimani sebagai langkah melindungi kepentingan keselamatan AS dan melemahkan aset ketenteraan Iran.
  • Beliau menegaskan AS akan terus memberi tekanan terhadap Iran walaupun terdapat kesan terhadap saluran diplomatik sedia ada.
Advertisement

IOWA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata tindakan ketenteraan negaranya terhadap kepimpinan Iran mungkin telah menyukarkan usaha mencari penyelesaian melalui rundingan, ketika beliau terus mempertahankan kempen ketenteraan Washington terhadap Tehran.

Berucap pada perhimpunan penyokong Parti Republikan di Dubuque, Iowa, menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS, Trump sekali lagi menegaskan bahawa konflik itu tercetus akibat tindakan Iran dan bukannya AS.

Beliau mendakwa Iran telah lama mengancam kepentingan AS, termasuk sejak Revolusi Iran pada 1979, dan mengaitkan Tehran dengan pelbagai serangan terhadap tentera serta kepentingan AS di Asia Barat.

Advertisement

Trump turut mempertahankan tindakan AS yang membunuh komander kanan Iran, Qasem Soleimani, dalam serangan dron di Baghdad pada 2020, dengan menyifatkan operasi itu sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kepentingan keselamatan AS.

Menurutnya, AS kini berada di kedudukan lebih kukuh selepas berjaya melemahkan pelbagai aset ketenteraan Iran.

Advertisement

Beliau mendakwa operasi ketenteraan Washington telah menjejaskan keupayaan tentera laut dan tentera udara Iran, selain merosakkan sistem pertahanan negara itu.

Bagaimanapun, Trump mengakui tindakan yang menyasarkan kepimpinan Iran mungkin membawa kesan yang tidak dijangka terhadap saluran diplomatik yang masih ada.

"Barangkali kami telah bertindak terlalu jauh terhadap barisan kepimpinan mereka. Sekarang agak sukar untuk mencari pihak yang boleh diajak berbincang," katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai pengakuan jarang berlaku daripada Trump mengenai kesan operasi ketenteraan terhadap prospek rundingan, ketika pelbagai usaha antarabangsa sedang dijalankan untuk meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran.

Walaupun begitu, beliau menegaskan AS tidak akan mengubah pendiriannya dan berikrar untuk meneruskan tekanan terhadap Iran sehingga konflik itu ditamatkan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement