Skip to main content

Dunia

Trump mahu bincang dengan Xi, Putin mengenai usaha tamatkan perang Iran

Trump berkata pertemuan itu akan memberi peluang kepada ketiga-tiga pemimpin membincangkan pelbagai isu global. - Foto fail/REUTERS
Trump berkata pertemuan itu akan memberi peluang kepada ketiga-tiga pemimpin membincangkan pelbagai isu global. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump akan bertemu Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC di Shenzhen minggu depan.
  • Antara agenda utama perbincangan ialah usaha menamatkan perang melibatkan Iran, pelucutan senjata nuklear dan isu-isu global lain.
  • Trump memaklumkan Operasi Iron Gate sedang dilaksanakan untuk menyekat laluan bekalan darat ke Iran sebagai sebahagian strategi tekanan terhadap Tehran.
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, minggu depan, dengan usaha menamatkan perang melibatkan Iran antara agenda utama perbincangan.

Trump berkata pertemuan itu akan memberi peluang kepada ketiga-tiga pemimpin membincangkan pelbagai isu global, termasuk pelucutan senjata nuklear dan perkembangan konflik di Asia Barat.

"Salah satu pertemuan yang saya jangka akan berlangsung adalah dengan Presiden Putin dan Presiden Xi. Ia akan menjadi menarik," katanya kepada pemberita di West Palm Beach, Florida.

Advertisement

"Kami akan membincangkan banyak perkara, termasuk pelucutan senjata nuklear. Namun, kami juga akan bercakap mengenai pelbagai isu lain. Kami sedang berusaha menamatkan perang di Iran dan setakat ini ia berjalan dengan baik kerana apa yang kami lakukan ialah menyekatnya," katanya memetik laporan Al Jazeera.

Trump turut memaklumkan bahawa Operasi Iron Gate yang dilancarkan AS kini sedang dilaksanakan. Operasi itu bertujuan mengganggu laluan bekalan darat ke Iran sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan tekanan terhadap Tehran.

Advertisement

Menurut beliau, sekatan berkenaan berfungsi dengan menghalang kemasukan bekalan melalui laluan darat, selain memperkukuh sekatan maritim yang telah sedia ada.

"Ini bermakna tiada apa yang boleh masuk melalui darat. Dan seperti yang anda tahu, melalui sekatan laut, tiada apa yang boleh masuk menerusi perairan," katanya.

Kenyataan Trump dibuat ketika ketegangan berkaitan Iran terus menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa, dengan beberapa kuasa besar dunia giat mencari jalan bagi mengelakkan konflik daripada merebak ke peringkat lebih luas.

Sidang Kemuncak APEC yang ditubuhkan pada 1989 menghimpunkan 21 ekonomi anggota termasuk Australia, Kanada, Jepun, China, Rusia dan Amerika Syarikat.

Pemimpin negara anggota bertemu setiap tahun bagi membincangkan kerjasama ekonomi dan isu-isu strategik serantau serta global.

Penganalisis melihat pertemuan antara Trump, Xi dan Putin akan menjadi antara acara paling dinantikan dalam sidang kemuncak kali ini, memandangkan pengaruh ketiga-tiga negara dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik antarabangsa yang sedang berlangsung.

 

 

Must Watch Video

Advertisement